KUALA LUMPUR 24 Jan - Satu kajian ditaja oleh Kyndryl dan Microsoft mendapati, hanya 35% syarikat memanfaatkan potensi penuh teknologi dalam strategi kelestarian keseluruhan organisasi walaupun 83% daripada responden mengiktiraf kepentingan teknologi dalam mencapai matlamat kelestarian.
Kajian yang dijalankan oleh Ecosystm itu juga menunjukkan, sebanyak 77% organisasi di Malaysia berpendapat, matlamat kelestarian berkait rapat dengan pasukan IT, namun peranan IT sering tertumpu kepada usaha untuk mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Ia menyebabkan peluang untuk memacu inisiatif kelestarian yang lebih meluas tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
"Walaupun 45% organisasi di Malaysia mengekalkan atau mempercepatkan usaha kelestarian antara tahun 2023 dan 2024, tekanan daripada pihak berkepentingan dan perubahan fokus menyebabkan sesetengah organisasi memperlahankan usaha tersebut.
"Kajian turut menekankan perlunya sokongan kepimpinan yang lebih baik dan pendekatan yang lebih strategik untuk menyepadukan IT secara menyeluruh dalam matlamat kelestarian," demikian menurut edisi kedua Kajian Barometer Kelestarian Global tersebut.
Kajian berkenaan yang dijalankan oleh Ecosystm serta ditaja bersama oleh Kyndryl dan Microsoft, menawarkan pandangan 1,355 pemimpin kelestarian global merentasi 20 negara dan sembilan kumpulan industri.
Kajian yang dijalankan antara Ogos dan September 2024 itu bertujuan merapatkan jurang antara kelestarian dan teknologi dengan meneliti peranan strategi, data dan AI dalam mencapai matlamat kelestarian.
Di Malaysia, kajian tersebut menghimpunkan pandangan daripada 60 pemimpin perniagaan dari pelbagai sektor dan fungsi.
Pengarah Urusan Negara Kyndryl Malaysia dan Indonesia, Effendi Azmi Hashim berkata, ketika dunia berdepan cabaran berkaitan iklim yang kian meningkat, perniagaan kini berdepan tekanan untuk bertindak tegas dan menjadikan kelestarian sebagai keutamaan.
"Kajian Barometer Kelestarian Global tahun ini menekankan bahawa organisasi harus bertindak bagi memacu perubahan," katanya.
Kajian tersebut turut menunjukkan, walaupun 57% organisasi melaporkan kelestarian telah diterapkan dalam operasi mereka, hanya 13% yang menggunakan pendekatan berasaskan data, dengan hanya 4% yang menganggap kelestarian sebagai aset strategik.
Selain itu, ia menekankan kekangan utama terhadap penerapan amalan kelestarian termasuk kesukaran dalam pelaporan atau membuktikan kemajuan, kekurangan sokongan organisasi atau kepimpinan, serta kos yang tinggi.
Sebanyak 45% organisasi mengenal pasti pengumpulan data luaran sebagai cabaran terbesar dalam usaha mereka untuk mencapai matlamat kelestarian.
Walaupun 92% organisasi mengumpul data berkaitan kelestarian dalam pelbagai tahap, hanya 20% yang menggunakannya secara cekap untuk menjejak, menganalisis dan mengoptimumkan prestasi.
Sebanyak 24% pula menggunakan data tersebut untuk membimbing perjalanan peralihan yang lebih luas, menonjolkan potensi yang masih belum dimanfaatkan dalam strategi berasaskan data.
Ini menunjukkan adanya jurang yang besar dalam penggunaan data sebagai alat untuk memacu keputusan strategik yang lebih efektif dalam mencapai kelestarian.
Dalam pada itu, kira-kira 60% organisasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau automasi untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan kesan alam sekitar dan membangunkan operasi yang lestari.
Namun, kajian juga menunjukkan, sebanyak 68% daripada organisasi tidak mengambil kira jejak alam sekitar AI itu sendiri, sementara 56% percaya bahawa penggunaan AI meningkatkan kos inisiatif kelestarian mereka.
Pakar Kelestarian Global di Microsoft, Matthew Sekol berkata, syarikat boleh memperoleh pandangan yang diperlukan untuk memenuhi komitmen mereka dan meningkatkan daya tahan dengan menyepadukan data kelestarian dengan data operasi dan kewangan.
"Dengan menggunakan analitik data tradisional dan alat AI yang berkesan, organisasi boleh memacu kecekapan operasi serta inovasi lestari," ujarnya.
Kajian ini juga menunjukkan bahawa Malaysia, seperti negara-negara ASEAN lain, menunjukkan kemajuan positif dalam usaha kelestarian.
Walaupun Singapura kekal sebagai peneraju dalam penggunaan teknologi canggih dan inisiatif kelestarian berasaskan data, Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus menyepadukan teknologi dan meningkatkan akses kepada data. - DagangNews.com








