Hala tuju DNB terus jadi kebimbangan pelabur pada 2026 – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hala tuju DNB terus jadi kebimbangan pelabur pada 2026 – HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Mac - Hala tuju masa depan Digital Nasional Bhd (DNB) dijangka terus menjadi tumpuan utama pelabur pada 2026, khususnya selepas penstrukturan pemilikan melibatkan syarikat telekomunikasi utama negara, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, selepas pemindahan saham yang dimuktamadkan pada Mac 2026, CelcomDigi Bhd dan Maxis Bhd akan mula merekodkan perakaunan ekuiti bagi pegangan masing-masing sebanyak 33% dalam DNB.

 

Ini bermakna sebarang potensi kerugian syarikat berkenaan akan mula dicerminkan dalam penyata kewangan kedua-dua syarikat telekomunikasi tersebut.

 

Menurut HLIB, keadaan itu berpotensi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur dalam jangka masa terdekat, namun pihak berkepentingan dijangka menggariskan beberapa langkah bagi memastikan model operasi DNB kekal mampan dalam jangka panjang.

 

Antara langkah yang dijangka termasuk pengoptimuman kos, pengukuhan perkongsian dan integrasi rangkaian, serta penstrukturan semula spektrum.

 

“Walaupun kami percaya risiko pelaksanaan sudah semakin diambil kira dalam harga saham bagi Maxis dan CelcomDigi, penarafan semula yang berterusan berkemungkinan memerlukan kejelasan yang lebih besar mengenai hala tuju jangka panjang DNB,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

HLIB berkata, keputusan sektor telekomunikasi bagi suku keempat tahun kewangan 2025 (FY25) secara keseluruhannya adalah selari dengan jangkaan, dengan segmen mudah alih menunjukkan prestasi lebih baik daripada kebimbangan awal walaupun berdepan kos borong 5G yang tinggi.

 

Firma itu mendapati gabungan hasil perkhidmatan CelcomDigi dan Maxis meningkat sebanyak 0.8% tahun ke tahun pada 2025, disokong oleh migrasi berterusan pelanggan daripada pelan prabayar kepada pascabayar serta persekitaran persaingan yang lebih stabil dalam segmen prabayar.

 

Pada masa sama, purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) prabayar meningkat kira-kira RM2 sepanjang tahun tersebut.

 

HLIB berkata peningkatan itu sebahagiannya didorong oleh perubahan struktur dalam pasaran, termasuk penjajaran kepentingan strategik antara CelcomDigi dan Maxis ketika kedua-dua syarikat bersiap untuk menjadi rakan utama dalam DNB.

 

Dalam perkembangan berkaitan, U Mobile Sdn Bhd kini berdepan komitmen perbelanjaan modal yang besar bagi melaksanakan pelancaran rangkaian 5G kedua negara, sekali gus mengehadkan ruang syarikat itu untuk melaksanakan strategi harga yang agresif.

 

Selain itu, purata penggunaan data mudah alih bagi setiap pelanggan kini telah melebihi 40GB, manakala CelcomDigi baru-baru ini menstruktur semula harga pelan prabayar asasnya kepada RM30 bagi 50GB data pada Januari 2026.

 

“Berdasarkan perkembangan positif ini, kami melihat pasaran mudah alih berada di landasan untuk mencatat pertumbuhan hasil satu digit rendah pada 2026, selari dengan panduan yang diberikan oleh CelcomDigi dan Maxis,” katanya.

 

HLIB mengekalkan penarafan “overweight” terhadap sektor telekomunikasi, dengan memberi keutamaan kepada pengendali talian tetap berikutan peranan penting mereka dalam infrastruktur jalur lebar dan 5G serta kedudukan kunci kira-kira yang lebih kukuh.

 

Firma itu menamakan Telekom Malaysia Bhd sebagai pilihan utama dengan harga sasaran RM8.60.

 

Selain itu, Axiata Group Bhd turut diketengahkan sebagai peluang berasaskan peristiwa dengan harga sasaran RM2.95, memandangkan potensi pemangkin pengewangan aset yang boleh membantu merapatkan jurang antara penilaian pasaran syarikat dan nilai intrinsik aset-aset asasnya. - DagangNews.com