Haier Energy perluas platform tenaga pintar ke Malaysia, ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Haier Energy perluas platform tenaga pintar ke Malaysia, ASEAN

Sokongan daripada Maybank penting bagi membantu Haier Energy melaksanakan pengembangan rentas sempadan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Haier Energy Sdn Bhd, anak syarikat Haier Group yang berpangkalan di China bekerjasama dengan Maybank untuk mempercepatkan pengembangan platform tenaga baharunya di Malaysia dan seterusnya pasaran terpilih di ASEAN.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian persefahaman utama (HoA) yang menjadi asas kepada perkongsian strategik antara kedua-dua pihak, dengan Malaysia menjadi pasaran awal sebelum diperluaskan ke negara ASEAN terpilih.

 

Haier Energy memberi tumpuan kepada pembangunan rumusan tenaga pintar yang menggabungkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), solar fotovoltaik serta penyimpanan tenaga.

 

Platform berkenaan direka untuk membantu pelanggan meningkatkan kecekapan tenaga selain mengurangkan pelepasan karbon dan kos penggunaan tenaga.

 

Haier Group mempunyai capaian kepada lebih satu bilion isi rumah di seluruh dunia, disokong 133 kemudahan pembuatan dan 71 pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

Haier Sasar Pertumbuhan Tenaga Pintar Di ASEAN

Menurut Pengurus Besar Haier Energy Technology Co. Ltd, Ji Xiaojian, kerjasama terbuka menjadi antara strategi Haier Energy untuk mengembangkan perniagaannya, termasuk menerusi pasaran baharu di luar China.

 

Katanya, ASEAN dilihat penting secara strategik kerana rantau itu berkembang dengan pantas dan menawarkan peluang dalam bidang penjanaan tenaga pintar, penyimpanan tenaga serta infrastruktur berkaitan.

 

Beliau berkata, sokongan daripada rakan perbankan yang kukuh seperti Maybank penting bagi membantu Haier Energy melaksanakan pengembangan rentas sempadan.

 

“Dengan kehadiran Haier Group di China, Eropah, Timur Tengah dan Asia Pasifik, Haier Energy melihat ASEAN sebagai antara rantau yang mempunyai potensi untuk mengembangkan ekosistem tenaga baharu kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Maybank Sokong Pengembangan Haier Energy

Sementara itu, Maybank akan memanfaatkan platform perbankan perniagaan serantaunya, Maybank2E, serta rangkaian produk dan perkhidmatan bagi menyokong pengembangan Haier Energy dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalannya.

 

Kerjasama itu merangkumi perkhidmatan perbankan transaksi bersepadu, pembayaran dan pembiayaan, termasuk kerjasama kad kredit serta kemudahan pembiayaan kepada pelanggan runcit.

 

Ia turut meliputi pembiayaan Islam, pembiayaan kelestarian, pembiayaan rantaian bekalan, pengurusan tunai, pembiayaan perdagangan serta perkhidmatan perbendaharaan dan pertukaran mata wang asing.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbankan Global Maybank, Datuk John Chong berkata kerjasama itu selari dengan komitmen Maybank untuk memainkan peranan lebih besar dalam peralihan tenaga ASEAN serta mengukuhkan hubungan ekonomi China-ASEAN.

 

Beliau berkata strategi China+1 dijangka terus mendorong syarikat untuk mempelbagaikan operasi dan mengembangkan perniagaan ke pasaran baharu di ASEAN, manakala keperluan pelaburan bagi memperkukuh daya tahan tenaga serantau turut membuka peluang kepada kerjasama seperti ini. - DagangNews.com