KUALA LUMPUR 18 Jun - Global Turbine Asia (GTA) memeterai perjanjian dengan pengeluar peralatan asal (OEM), Europrop International (EPI) bagi mendapatkan perkhidmatan sokongan bagi enjin dan bekalan alat ganti bagi pesawat A400M Tentera Udara Malaysia (TUDM).
Menerusi perjanjian itu, GTA akan terus menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi enjin TP400-D6 yang menggerakkan keupayaan pengangkutan strategik TUDM.
Kontrak itu menjamin bekalan berterusan alat ganti dan perkhidmatan berdasarkan keperluan (by event services), termasuk MRO serta menyokong kesiapsiagaan operasi dan kebolehpercayaan pesawat A400M Malaysia.
Kerjasama itu dibina atas hubungan kukuh yang telah terjalin dan ia meletakkan GTA sebagai satu-satunya syarikat bukan Eropah yang diberi kuasa untuk membekal dan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada pesawat A400M TUDM serta menjalankan penyelenggaraan Tahap 1 dan Tahap 2 (di pangkalan) untuk enjin TP400-D6.
Perjanjian itu menyerlahkan kepakaran dan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang dalam kejuruteraan aeroangkasa, sekali gus menyumbang kepada keupayaan pertahanan kendiri negara dan pembangunan tenaga kerja teknikal.

Majlis menandatangani kontrak itu disempurnakan Pengerusi Eksekutif GTA, Datuk Noni Ashirin Mohd Radzi dan Presiden EPI, Catherine Poincheval sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa Pameran Udara Paris 2025.
“Perjanjian ini menunjukkan kepentingan kerjasama strategik antara OEM dan penyedia MRO tempatan di Malaysia.
"Dengan menggabungkan kepakaran kejuruteraan Europrop International dan keupayaan perkhidmatan Global Turbine Asia, kami komited untuk menyokong keperluan operasi TUDM sambil memajukan kedudukan Malaysia dalam industri aeroangkasa," kata Noni Ashirin dalam satu kenyataan, hari ini.


Poincheval berkata, kerjasama dengan GTA merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh sokongan terhadap enjin TP400-D6 dan pesawat A400M milik TUDM.
"Dengan termeterainya kontrak ini, GTA kekal sebagai satu-satunya penyedia MRO tempatan di rantau ini yang mempunyai akses terus kepada enjin TP400-D6 milik TUDM, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai rakan strategik yang dipercayai dalam sektor pertahanan dan penerbangan Malaysia," katanya. - DagangNews.com








