Gold Li raih untung bersih RM9.5 juta bagi FY26 menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 18 Mei 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gold Li raih untung bersih RM9.5 juta bagi FY26 menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 18 Mei 2026

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 MeiGold Li Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM9.51 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (FY26), yang disokong sumbangan daripada pelbagai segmen


Antaranya didorong oleh faktor pengiktirafan hasil lebih baik menerusi segmen jualan hartanah siap serta pendapatan lain yang semakin tinggi berikutan pelupusan beberapa hartanah, loji dan peralatan.


Makluman tersebut dibuat kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia menerusi laporan kewangan interim suku keempat syarikat, menjelang penyenaraian rasminya di Pasaran ACE pada 18 Mei 2026.


"Ia naik 21.2% berbanding RM7.84 juta bagi FY25, manakala prestasi suku keempat pula merekodkan perolehan RM10.67 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM776,000," kata Gold Li.


Bagi keseluruhan FY26, perolehan meningkat kepada RM66.78 juta berbanding RM65.03 juta pada tahun kewangan sebelumnya, manakala keuntungan bersih meningkat daripada RM7.84 juta kepada RM9.51 juta.


Segmen jualan hartanah siap merupakan penyumbang terbesar, mewakili 78.56% daripada perolehan, menerusi sumbangan projek seperti Taman Desa Tropika, Taman Desa Baiduri dan Taman Muhibbah.


Keuntungan kumpulan pemaju berkenaan, turut disokong oleh faktor tambahan seperti keuntungan pelupusan hartanah, loji dan peralatan yang berjumlah RM1.2 juta dalam tempoh kumulatif tersebut.


"Melangkah ke hadapan, Gold Li menyatakan keyakinan secara berhati-hati terhadap prospek syarikat dengan memfokuskan pasaran di daerah Muar, Tangkak dan Batu Pahat di Johor," tambahnya lagi. 


Syarikat merancang untuk menggunakan sebahagian besar daripada RM15.21 juta hasil terbitan awam permulaan (IPO) sebagai modal pusingan untuk membiayai kos pembinaan empat projek sedia ada.


Di samping itu, ia bercadang untuk mengembangkan portfolio ke arah pembangunan hartanah kediaman bertingkat tinggi, dan setakat ini syarikat tidak mempunyai sebarang litigasi material.


Justeru, situasi tersebut dijangka tidak menjejaskan kedudukan kewangan Gold Li, dan syarikat itu juga tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku kewangan yang ditinjau. - DagangNews.com