Glomac jalin kerjasama dengan Maybank terbitkan Sukuk Wakalah berjumlah RM3 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Glomac jalin kerjasama dengan Maybank terbitkan Sukuk Wakalah berjumlah RM3 bilion

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Glomac Bhd, Datuk Seri FD Iskandar Tan Sri FD Mansor (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Michael Oh-Lau (dua dari kanan) merasmikan Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion Glomac, disaksikan oleh Pengarah Eksekutif Glomac Bina, FD Idzham FD Iskandar (pertama dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Global Banking, Datuk John Chong (pertama dari kanan)
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Glomac Bhd dan Malayan Banking Bhd (Maybank) menerbitkan Sukuk Wakalah sebanyak RM3 bilion dalam nilai nominal berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

 

Pemaju hartanah itu berkata, hasil daripada terbitan Program Sukuk Wakalah akan digunakan untuk pengambilan tanah, modal perbelanjaan dan modal kerja.

 

Maybank IB ialah penasihat, pengatur dan pengurus utama tunggal, manakala Maybank Islamic Bhd adalah penasihat syariah Program Sukuk Wakalah.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri FD Iskandar Tan Sri FD Mansor, berkata, Program S

 

ukuk akan meningkatkan rizab kewangan kumpulan dan memberi peluang perbankan tanah selanjutnya. 

 

"Ia juga akan membolehkan Glomac mengoptimumkan beberapa liabilitinya, yang menanggung kadar faedah yang tinggi.

 

"Selain itu, ia memberi akses kepada pertumbuhan modal dan sebagai langkah strategik Glomac untuk berada dalam kedudukan baik.

 

"Inisiatif ini akan membuka jalan kami untuk meningkatkan kestabilan dan pertumbuhan kewangan.

 

"Perkongsian strategik dengan Maybank akan melonjakkan lagi kredibiliti dan kedudukan pasaran Glomac sebagai salah satu pemaju pilihan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB, Michael Oh-Lau berkata, Program Sukuk Wakalah memberi Glomac fleksibiliti untuk menerbitkan sukuk yang dinilai atau tidak dinilai dengan pilihan format mampan bagi memenuhi keperluan pembiayaan Glomac pada masa kini.

 

"Maybank berbesar hati untuk memainkan peranan penting dalam penerokaan sulung Glomac ke dalam pasaran modal hutang dengan menyediakan rumusan holistik dan memanfaatkan kekuatan kami dalam perbankan global, modal pasaran dan kewangan Islam,” katanya. 

 

Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang Glomac, syarikat sedang meneroka peluang bagi mempelbagaikan kawasan yang sejajar dengan perniagaan teras dalam pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan sektor pembinaan, termasuk inisiatif tenaga hijau.

 

Glomac menguasai portfolio teguh bank tanah yang terletak di lokasi strategik dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM7 bilion, meletakkan kumpulan untuk pembangunan berterusan pada tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com