KUALA LUMPUR 11 Mac - Globaltec Formation Bhd akan melepaskan pegangan sahamnya dalam kontrak perkongsian pengeluaran Muara Enim 2.
Syarikat tersebut memiliki 30% kepentingan melalui anak syarikat yang disenaraikan di Australia, NuEnergy Gas Ltd dan mengendalikan kontrak yang meneroka serta mengekstrak metana lapisan arang batu di Indonesia.
Menurut Globaltec, NuEnergy akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk menyelesaikan proses penyerahan tersebut.
"Penyerahan Muara Enim 2 memberi peluang kepada NuEnergy untuk mengoptimumkan lagi portfolio metana lapisan arang batu mereka dengan memberi tumpuan kepada projek yang lebih maju dan berpotensi menghasilkan hasil dalam jangka masa terdekat," katanya dalam satu makluman di Bursa Malaysia.
Jelas syarikat itu, semua perbelanjaan penerokaan berkaitan dan kos penalti telah diambil kira sepenuhnya dalam tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2019, manakala kos pemulihan dijangka tidak signifikan.
Syarikat berkenaan masih memegang tiga kontrak perkongsian pengeluaran metana lapisan arang batu di Sumatera Selatan dan merancang untuk menyepadukannya bagi mewujudkan sebuah pusat yang menyokong pasaran tenaga Indonesia yang semakin berkembang.
NuEnergy dalam kenyataan berasingan berkata, syarikatnya kini akan memberi tumpuan kepada aset mereka yang paling maju, Tanjung Enim.
Syarikat itu memperoleh kelulusan bagi pelan pembangunan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia pada Jun 2021 untuk lapangan gas berkenaan.
Pelan pembangunan tersebut melibatkan 209 telaga, merangkumi 13% daripada keseluruhan kawasan Tanjung Enim, dengan rizab yang disahkan dianggarkan sekitar 164.89 bilion kaki padu standard.
Pengeluaran dijangka bermula pada kadar satu juta kaki padu standard sehari.
NuEnergy telah memuktamadkan terma dengan PT Perusahaan Gas Negara Tbk, satu daripada pengedar dan pengangkut gas terbesar yang disenaraikan di Indonesia, untuk penjualan dan pembelian metana lapisan arang batu pada Disember 2024.
Perjanjian muktamad akan ditandatangani setelah peruntukan gas dan penentuan harga diluluskan oleh kerajaan Indonesia. - DagangNews.com








