GDB Holdings beli tiga lot tanah di Kuching, bangunkan projek bercampur dengan GDV RM700 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GDB Holdings beli tiga lot tanah di Kuching, bangunkan projek bercampur dengan GDV RM700 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb – GDB Holdings Berhad kini melebarkan sayapnya ke sektor pembangunan hartanah dengan membeli tiga lot tanah di Kuching, Sarawak untuk projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM700 juta.

 

Projek ini merupakan langkah pertama GDB dalam pembangunan hartanah di Sarawak dan bertujuan untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan syarikat selain daripada operasi pembinaan sedia ada.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata anak syarikat milik penuhnya, GDB Development Sdn Bhd (GDBDSB) membeli tiga lot tanah dengan keluasan keseluruhan 21,926 meter persegi di kawasan Kuching Central dan Muara Tebas dengan harga tunai RM32.7 juta.

 

“Pembangunan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan merangkumi pangsapuri servis, unit SOHO, komponen runcit, serta penyewa utama lengkap dengan kemudahan dan tempat letak kereta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan GDB, Andy Lai Wee Young berkata pembelian tanah di Kuching itu adalah langkah pertama kami kumpulan dalam meneroka sektor pembangunan hartanah.

 

“Dengan kepakaran sedia ada dalam pembinaan dan pelaksanaan projek, kami berupaya mengurus kos pembangunan secara berkesan. 

 

“Matlamat kami adalah untuk menjadi firma pembinaan berorientasikan nilai tambah yang mampu menjalankan pembangunan hartanah, sekali gus menjana pertumbuhan jangka panjang dan nilai mampan untuk pemegang saham,” katanya.

 

Kawasan tanah yang dibeli berada di kawasan perbandaran lama yang berhampiran dengan pembangunan kediaman sedia ada dan memiliki kemudahan serta akses perjalanan yang baik. 

 

Kawasan itu dijangka terus menarik minat penduduk kerana pertumbuhan populasi yang positif.

 

Pembelian tanah ini akan dibiayai melalui gabungan sumber dalaman GDB dan pinjaman bank, dengan jangkaan penyelesaian transaksi dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh perjanjian jual beli ditandatangani.

 

GDB ditubuhkan pada 2013 dan mempunyai empat anak syarikat, termasuk Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB), GDB Infra Sdn Bhd, GDB Development Sdn Bhd, dan GDB Geotechnics Sdn Bhd.- DagangNews.com