Gamuda Land perkukuh kehadiran di UK dengan projek kediaman pelajar RM600 juta di London | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda Land perkukuh kehadiran di UK dengan projek kediaman pelajar RM600 juta di London

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Okt - Gamuda Land, cabang hartanah Gamuda Berhad, mengumumkan pengambilalihan tapak utama di 14 Marshgate Lane, Stratford, London, bagi pembangunan kediaman pelajar berasaskan tujuan (PBSA) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan mencecah RM600 juta.

 

Projek ini menandakan pembangunan PBSA pertama Gamuda Land UK yang dimiliki, dibangunkan dan diurus sepenuhnya oleh syarikat itu sendiri — memperkukuh keupayaannya dalam salah satu pasaran hartanah paling matang di dunia.

 

Langkah ini selaras dengan rancangan Gamuda Land untuk membina sehingga 3,000 katil pelajar di bandar-bandar utama United Kingdom dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus menambah portfolio aset penjana pendapatan berulang yang mampan. Ia juga memperkukuh strategi pengantarabangsaan Gamuda dalam mempelbagaikan sumber pendapatan serta meningkatkan daya tahan terhadap kitaran ekonomi.

 

Projek Marshgate Lane dijadual siap bagi tahun akademik 2028/2029 dengan kapasiti 321 katil. Ia bakal menjadi PBSA swasta terdekat dengan kampus UCL East, selain turut melayani pelajar dari London College of Fashion — gabungan lebih 10,000 pelajar.

 

Lokasinya yang berhampiran Westfield Stratford, pusat beli-belah terbesar di London, menambah nilai strategik kepada pembangunan tersebut.

 

Dengan penambahan ini, portfolio PBSA Gamuda Land di UK kini berjumlah 1,232 katil dalam tempoh hanya 18 bulan melalui tiga projek utama:

  • Press House, Woolwich (London) – 419 katil, usaha sama dengan Q Investment Partners, siap berperingkat antara 2026–2027.

  • City Wharf, Glasgow (Scotland) – 492 katil, usaha sama dengan Dandara Living, siap 2026.

  • Marshgate Lane, Stratford (London) – 321 katil, pembangunan kendiri, siap 2028.

  •  

 

Chu Wai Lune
                             Chu Wai Lune

 


“PBSA merupakan kelas aset berdaya tahan yang berasaskan permintaan pelajar yang konsisten dan kukuh. Ia membantu mengimbangi portfolio kediaman dan komersial kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune.

 

Beliau menambah, United Kingdom mempunyai lebih 680,000 pelajar antarabangsa namun kediaman PBSA masih kurang daripada 30% daripada jumlah penawaran, mewujudkan kekurangan struktur yang memberi jaminan kepada pendapatan jangka panjang.

 

Selain sektor PBSA, Gamuda Land turut mengukuhkan kehadirannya dalam pembangunan komersial dengan projek mercu 75 London Wall bernilai £1.2 bilion, usaha sama bersama Castleforge. Projek pejabat utama itu kini bersedia menandatangani kontrak utama dengan Multiplex pada suku ini, dengan perbincangan sewaan berjalan lancar.

 

Dengan projek ini, nilai keseluruhan rangkaian pembangunan Gamuda Land di UK kini mencecah sekitar £1.5 bilion.

 

“Data Savills menunjukkan pasaran sewaan pejabat pusat London pulih kukuh pada awal 2025, khususnya bagi ruang Gred A. Ini mengukuhkan keyakinan kami terhadap ketahanan pasaran pejabat perdana,” jelas Chu.

 

Menurutnya lagi, kombinasi antara projek pejabat utama dan PBSA ini mencerminkan disiplin kewangan Gamuda serta menyediakan landasan pertumbuhan jangka sederhana dan panjang yang kukuh.

 

Pengembangan dalam segmen PBSA juga melengkapi projek kediaman West Hampstead Central yang berasaskan jualan, menjadikan portfolio Gamuda Land di UK seimbang antara aset pendapatan berulang, keuntungan modal, dan pegangan komersial bertaraf institusi. - DagangNews.com