Gamuda, keluarga Downie jalin kerjasama strategik bangunkan projek RE skala besar di Australia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda, keluarga Downie jalin kerjasama strategik bangunkan projek RE skala besar di Australia

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 1 Julai – Gamuda Bhd menandatangani perjanjian usaha sama dengan keluarga Downie bagi membangunkan portfolio projek tenaga boleh diperbaharui (RE) berskala besar di wilayah tengah Tasmania, Australia.

 

Syarikat berkata, portfolio itu melibatkan kapasiti gabungan 600 megawatt (MW) tenaga solar dan angin serta penyimpanan tenaga melalui bateri serta nilai pelaburan tidak didedahkan. 

 

Kesemua projek akan dilaksanakan secara eksklusif oleh Gamuda melalui kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC).

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Pertumbuhan Gamuda, Jarred Hardman berkata, ia selaras strategi syarikat untuk menjadi pemaju, pembina, dan pemilik aset RE secara menyeluruh.

 

Portfolio tersebut termasuk Weasel Solar Farm dan Cellars Hill Wind Farm, yang dibangunkan oleh keluarga Downie bersama rakan pembangunan Alternate Path. 

 

Keluarga Downie telah memiliki tanah pastoral di Tasmania selama lebih 200 tahun.

 

Bagaimanapun, pelaksanaan perjanjian tertakluk kepada kelulusan Lembaga Semakan Pelaburan Asing, selain memerlukan perancangan dan kelulusan lanjut.

 

Pembinaan Weasel Solar Farm dijangka bermula pada 2027 diikuti Cellars Hill Wind Farm pada 2028.

 

Ketika ini, Gamuda sebagai kontraktor bagi Projek Tenaga Hidro Pam Oven Mountain oleh Alinta Energy serta Capricornia Energy Hub oleh Copenhagen Infrastructure Partners. 

 

Syarikat turut membina Ladang Solar Goulburn River dan Ladang Angin Boulder Creek.- DagangNews.com