Gamuda, Dong Pi terima kontrak RM3.72 bilion bina dermaga dan jambatan di Terminal LNG Taiwan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda, Dong Pi terima kontrak RM3.72 bilion bina dermaga dan jambatan di Terminal LNG Taiwan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - Gamuda Berhad bersama syarikat Taiwan, Dong Pi Co Limited menerima kontrak bernilai RM3.72 bilion bagi pembinaan dermaga dan jambatan untuk Projek Pembinaan Terminal LNG Antara Benua Pelabuhan Kaohsiung di Taiwan.

 

Kumpulan itu berkata, projek itu melibatkan pembinaan tembok laut sepanjang 2.193km, jambatan penghubung sepanjang 1.2km, dermaga, platform pemunggahan, platform penghubung dan dok jenis caisson.

 

Projek itu bermatlamat mewujudkan proses lengkap dan selamat bagi pemunggahan LNG di laut dan penerimaan di darat serta memastikan kecekapan dalam proses import, penyimpanan dan penggegasan semula LNG untuk penghantaran ke Dalin dan kawasan sekitarnya.

 

"Kontrak itu dijangka siap dalam masa lima tahun.

 

"Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan Gamuda bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 dan seterusnya sehingga projek itu siap," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, risiko utama bagi projek itu adalah situasi pasaran buruh yang mencabar pada masa ini serta keadaan cuaca yang tidak menentu.

 

Katanya, projek itu turut menggabungkan penggunaan bahan mesra alam dan landskap lestari, di samping memastikan aspek keselamatan dan kebolehcapaian untuk kawasan luar bandar selaras dengan undang-undang dan peraturan dengan matlamat untuk mencapai kesaksamaan sosial yang lebih baik dan mewujudkan inisiatif manfaat sosial dalam komuniti setempat. - DagangNews.com