Gamuda diyakini capai sasaran penambahan projek sehingga RM45 bilion tahun ini, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda diyakini capai sasaran penambahan projek sehingga RM45 bilion tahun ini, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - Gamuda Berhad diyakini mampu mencapai sasaran penambahan projek antara RM40 bilion hingga RM45 bilion didorong kejayaan mendapatkan beberapa projek berskala besar termasuk di luar negara.

 

MIDF Research berkata, sehingga kini kumpulan itu telah memperoleh RM15.8 bilion projek baharu, jumlah kemenangan tahunan tertinggi setakat ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara kemenangan berskala besar termasuk Segmen 1 LRT Pulau Pinang (RM5 bilion), MRT Xizhi Donghu di Taiwan (RM3.2 bilion) dan projek Hidroelektrik Ulu Padas (RM2.3 bilion).

 

Katanya, buku tempahan belum siap setakat April 2025 berjumlah RM34.6 bilon, dengan projek di Malaysia menyumbang bahagian terbesar iaitu 41.6% (RM14.4 bilion), diikuti Australia pada 30.3% (RM10.5 bilion) dan Taiwan sebanyak 21.4% (RM7.4 bilion). Baki 6.6% (RM2.3 bilion) datang daripada Singapura.

 

"Kira-kira RM24 bilion daripadanya masih dalam proses, dan kumpulan itu dijangka memperoleh sekitar RM11 bilion hingga RM15 bilion lagi menjelang akhir tahun 2025," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan pada 3QFY25 meningkat keoada RM246.84 juta berbanding RM235.8 juta pada 3QFY25 dengan hasil meningkat sebanyak 24.08% kepada RM3.09 bilion daripada RM2.49 bilion.

 

Pendapatan bahagian pembinaan domestiknya melonjak 169% kepada RM104.08 juta daripada RM38.72 juta.

 

MIDF Research berkata, pihak pengurusan menyuarakan keyakinan untuk mencapai baki separuh daripada sasaran jualan hartanah pada 4QFY25, disokong beberapa pelancaran baharu.

 

Katanya, lebih RM2 bilion dalam Nilai Pembangunan Kasar (GDV) daripada projek seperti The Mews, The Clove, The Space, dan Skyvilla dirancang bagi menyokong sasaran jualan bagi FY25/FY26.

 

Pada 3QFY25, bahagian hartanah mencatatkan penurunan hasil kepada RM615 juta dengan untung bersih sebanyak RM72.3 juta.

 

"Sebahagian daripada penurunan ini disebabkan ketiadaan pendapatan daripada Celadon City yang telah siap di Vietnam serta keuntungan besar daripada OLA Residences di Singapura pada suku yang sama tahun lalu," katanya.

 

Sementara itu, pihak pengurusan kekal optimis terhadap prospek projek pusat data yang akan datang. Mereka telah menghantar tender untuk sehingga tujuh projek yang melibatkan lebih daripada satu pelanggan, dan keputusan bidaan dijangka akan diumumkan dalam tempoh dua hingga empat bulan.

 

Firma penyelidikan itu juga menunjukkan sedikit anjakan dalam jadual pelaksanaan projek, terutamanya disebabkan tarif yang dijangka memberi kesan kepada kos pembinaan di AS, yang mungkin mendorong pelanggan untuk memindahkan lebih banyak pembinaan kapasiti ke Malaysia.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.42 sesaham," katanya. - DagangNews.com