Fuji Logistics buka gudang baharu di Northern Technocity, Kulim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fuji Logistics buka gudang baharu di Northern Technocity, Kulim

Northern Technocity di Kulim, Kedah.
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis – Fuji Logistics (M) Sdn Bhd mengukuhkan kedudukannya di wilayah utara melalui pembukaan gudang terbaharunya di Northern Technocity, Kulim pada 9 Disember 2025.

 

Kulim Logistics Center 2 (KLC2) seluas 28,800 meter persegi itu adalah tiga kali lebih besar daripada gudang pertama, Kulim Logistics Center 1 (KLC1), yang dibuka pada 2012 di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

 

Pengarah Urusan Fuji Logistics, Satoshi Toki berkata, pembukaan KLC2 itu adalah langkah penting dalam komitmen Kumpulan untuk menyokong sektor pembuatan berteknologi tinggi yang pesat berkembang di Kulim, Kedah. 

 

“Northern Technocity menawarkan persekitaran terbaik untuk perkembangan operasi kami, yang membolehkan kami menyediakan perkhidmatan khusus kepada para pelanggan. 

 

“Kami berasa teruja untuk mengukuhkan kehadiran di kawasan ini dan menyumbang kepada pembangunan logistik serta industri di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

KLC2 direka untuk menyokong pengembangan pelanggan dalam sektor elektronik dan pembuatan, selaras dengan pertumbuhan pesat rantaian bekalan di kawasan itu.

 

KLC2 dibangunkan di kawasan tanah tinggi Northern Technocity, memberi perlindungan semula jadi daripada risiko banjir. Ia turut dilengkapi panel dinding bertebat, struktur tahan cuaca dan kedap udara, serta bumbung berklip kunci yang mampu menahan beban angin sehingga 33.50 m/s. 

 

Lantainya diperkuat dengan pengeras lantai untuk memastikan permukaan bebas habuk dan sesuai bagi penggunaan robotik serta sistem rak berketepatan tinggi.

 

Tahap keselamatan turut dipertingkatkan melalui sistem ESFR, disokong bekalan kuasa khusus 11kV serta penjana 750 kVA yang mampu beroperasi selama 12 jam. Sistem ACMV dan infrastruktur elektrik direka agar mudah dinaik taraf bagi memenuhi keperluan masa depan.

 

t
Dari kiri: Pengarah Urusan Fuji Logistics Malaysia, Satoshi Toki; Pegawai Eksekutif merangkap Pengurus Besar Bahagian Jualan Logistik Mitsubishi Logistics Corporation, Yoshihiro Yamaguchi; dan Presiden Fuji Logistics Co. Ltd., Hiroshi Nishikawa pada majlis perasmian KLC2.

 

Fuji Logistics (M) Sdn Bhd ditubuhkan pada 1997 sebagai penyedia logistik di bawah Fuji Logistics Co. Ltd. dan Mitsubishi Logistics Group. 

 

Syarikat itu menawarkan perkhidmatan termasuk gudang berlesen, kastam dan penghantaran barang, pengangkutan serta pembungkusan khas, dengan operasi utama di KHTP dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

 

Northern Technocity Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Kumpulan MMC, merupakan pemaju pembangunan industri bersepadu seluas 354 ekar yang dikenali sebagai Northern Technocity, pembangunan industri seluas 354 ekar yang dimulakan pada 2021, kini mencapai kadar pemilikan 70%. 

 

Antara syarikat besar yang beroperasi di sini ialah Celestica, BCM Electronics, Aurelius Technologies Bhd dan Nagoya.

 

Kawasan ini juga bakal menerima pelaburan daripada sebuah syarikat teknologi perubatan antarabangsa, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap lokasinya yang strategik serta infrastrukturnya yang lengkap.

 

Hab industri itu turut menawarkan akses logistik komprehensif melalui rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Butterworth–Kulim, selain berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan pelabuhan utama termasuk Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang.

 

Sementara itu, Ketua Bahagian Hartanah Kumpulan MMC, Gan Seng Keong pula berkata, pengembangan Fuji Logistics mengukuhkan ekosistem logistik di Northern Technocity dan berpotensi menjadikan Kulim serta Kedah sebagai destinasi strategik bagi sektor pembuatan dan logistik berteknologi tinggi. - DagangNews.com