KUALA LUMPUR 19 Mac - Platform penghantaran makanan dan barangan runcit, foodpanda bekerjasama dengan perkhidmatan ride-hailing terbaharu di Malaysia, Bolt, untuk menawarkan diskaun eksklusif bagi pelanggan pandapro.
Kerjasama itu memberikan kemudahan dan penjimatan lebih besar kepada rakyat Malaysia dengan menggabungkan dua perkhidmatan penting iaitu penghantaran makanan dan ride-hailing.
Menerusi kerjasama tersebut, rakyat Malaysia yang melanggan pelan pandapro boleh menikmati penjimatan lebih banyak untuk penghantaran makanan dan perjalanan bermula 17 Mac 2025.
Sementara itu, pengguna baharu Bolt boleh mendapat diskaun 70% untuk perjalanan pertama mereka, manakala pengguna sedia ada akan mendapat diskaun 40% untuk dua perjalanan, menjadikan perjalanan harian dan penghantaran makanan lebih mudah dan berpatutan.
Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan Bolt untuk memberikan lebih banyak nilai kepada pelanggan setia.
"Di foodpanda, kami komited untuk meningkatkan tawaran pandapro kami, bukan sahaja dengan manfaat penghantaran makanan dan barangan runcit, tetapi juga dengan manfaat tambahan seperti diskaun ride-hailing.
"Kerjasama ini adalah bukti usaha berterusan kami untuk memberikan penjimatan dan kemudahan lebih besar kepada pelanggan, membantu meningkatkan kehidupan seharian mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Pengurus Besar Bolt Malaysia, Afzan Lutfi berkata, kerjasama dengan foodpanda adalah langkah besar dalam usaha mengembangkan kehadirannya di Malaysia.
"Dengan memperkenalkan manfaat ride-hailing dalam ekosistem pandapro, kami menjadikan perjalanan harian lebih mudah dan berpatutan.
"Kami sentiasa mencari cara untuk menambah nilai untuk penumpang kami, dan kerjasama ini mengukuhkan komitmen kami untuk menyediakan cara yang lancar dan boleh dipercayai untuk bergerak," ujarnya.
Selain manfaat ride-hailing, langganan pandapro yang dipertingkatkan menawarkan pelbagai manfaat eksklusif untuk menambah pengalaman pelanggan antaranya penghantaran percuma tanpa had untuk makanan dan barangan runcit, diskaun RM6.50 dengan kod SYOKPRO di restoran terpilih dan diskaun 25% atau lebih untuk tawaran pandapro di restoran terpilih.
Dengan tawaran berkenaan, pandapro diharap akan terus menjadi pilihan orang ramai kerana menawarkan penjimatan luar biasa daripada lebih 25,000 restoran dan akses kepada makanan, barangan runcit dan manfaat gaya hidup. - DagangNews.com








