Flexidynamic ambil alih Formtech berharga RM10.4 juta bagi luaskan perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Flexidynamic ambil alih Formtech berharga RM10.4 juta bagi luaskan perniagaan

(Dari kiri) : Pengarah Harps Investment Asia Pte Ltd, Veronica How Mei Yen, Timbalan Pengarah Urusan Flexidynamic Holdings Bhd, Ben Sin, Pengarah Urusan Formtech Engineering (M) Sdn Bhd, Dietmar Trumm, dan Ketua Pegawai Kewangan Formtech Engineering (M) Sdn Bhd, Valluvan Peramuthu.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Jun – Flexidynamic Holdings Bhd mengambil alih Formtech Engineering (M) Sdn Bhd pada harga RM10.39 juta dalam langkah strategik untuk memperluas perniagaan dan mempelbagaikan aliran pendapatan kumpulan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, meskipun Formtech menanggung kerugian terkumpul RM4.5 juta, pengambilalihan itu dilihat menawarkan nilai jangka panjang serta potensi pertumbuhan, khususnya melalui kerjasama dengan pelanggan sedia ada.

 

Formtech yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan, mencatatkan kerugian tiga tahun berturut-turut susulan pengeluaran berlebihan dalam industri sarung tangan ketika pandemik Covid-19. 

 

Ia merekodkan kerugian bersih RM739,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), RM8.89 juta pada FY23, dan RM828,000 pada FY24.

 

Flexidynamic memaklumkan nilai aset bersih teraudit Formtech setakat akhir Disember 2024 adalah RM3.8 juta, menjadikan harga pembelian pada nisbah harga kepada aset bersih (NA) sebanyak 2.75 kali.

 

Pengambilalihan itu melibatkan pembelian saham Formtech daripada Harps Investment Asia Pte Ltd yang memegang 69.88% serta dua individu, Dietmar Trumm dan Valluvan Peramuthu sebanyak 30.12%. 

 

Urus niaga itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi dana dalaman Flexidynamic.

 

"Kumpulan akan memanfaatkan rangkaian pelanggan sedia ada untuk menawarkan produk tambahan seperti acuan sarung tangan, dan yakin dapat memulihkan prestasi kewangan Formtech," kata Flexidynamic dalam satu kenyataan.

 

Setakat FY2024, Formtech mempunyai kapasiti pengeluaran terpasang sebanyak 180,000 unit sebulan, namun kadar penggunaan hanya sekitar 30%.

 

Kapasiti lebihan itu membolehkan syarikat memenuhi permintaan tambahan tanpa perlu membina kemudahan baharu, sekali gus mempercepat pertumbuhan melalui pelanggan Flexidynamic.

 

Saham Flexidynamic meningkat 9.68% atau 1.5 sen untuk ditutup pada 17 sen pada Khamis, menjadikan modal pasaran sebanyak RM46.5 juta.- DagangNews.com