KUALA LUMPUR 19 Mac - Fibromat (M) Bhd menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd bagi pemindahan penyenaraian syarikat itu dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penawaran Awam Permulaan (IPO) tersebut termasuk terbitan awam sebanyak 32.3 juta saham baharu dan jualan 24.8 juta saham sedia ada, yang mewakili 23 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan oleh syarikat.
Terbitan awam berkenaan terdiri daripada 12.4 juta saham baharu yang akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, 6.2 juta saham baharu untuk pihak yang layak di bawah pengagihan borang merah jambu dan 13.7 juta saham baharu akan diagihkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
Sementara itu, tawaran jualan terdiri daripada 17.4 juta saham dan 7.4 juta saham sedia ada yang akan diagihkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh kementerian dan pelabur terpilih.
M&A Securities Sdn Bhd akan menjamin sejumlah 18.6 juta saham baharu yang akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia dan pihak yang layak di bawah pengagihan borang merah jambu.
Fibromat menyasarkan untuk menyenaraikan keseluruhan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 248.3 juta saham biasa di Pasaran ACE menjelang suku kedua 2025.
Hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk pembelian mesin dan modal kerja bagi menyokong pertumbuhan operasi syarikat, manakala bakinya akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
Rumusan geoteknikal Fibromat digunakan dalam pelbagai jenis projek seperti pembangunan perumahan dan komersial, pembangunan kemudahan, penambakan tanah, pembinaan jalan raya, pembinaan landasan kereta api, pengukuhan tanah, landskap dan perlindungan sungai serta pantai.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Fibromat, Ng Kian Boon berkata, pemindahan penyenaraian tersebut dibuat pada waktu yang tepat, yang akan membantu syarikat memanfaatkan sektor pembangunan kemudahan dan hartanah yang berkembang pesat di Malaysia.
Beliau menyatakan, sehingga akhir 2024, syarikat mempunyai 40 projek yang sedang berjalan bernilai RM178.7 juta, dengan RM51.7 juta masih belum ditagih pada Disember 2024.
"Dengan pengalaman 25 tahun dalam industri rumusan geoteknikal di Malaysia, kumpulan kami mempunyai kepakaran mengenai keperluan projek tempatan, piawaian industri, peraturan serta keadaan tanah di seluruh Malaysia.
"Pengalaman ini menjadi faktor penting dalam membantu kumpulan kami memperoleh lebih banyak projek serta pesanan produk untuk pengembangan yang sedang dijalankan," tambahnya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








