KUALA LUMPUR 14 Nov – Fiamma Holdings Bhd terus mempercepatkan pengembangannya merentas pelbagai segmen bagi mengukuhkan daya tahan pendapatan jangka panjang dan sumbangan lebih tinggi daripada kategori produk baharu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Jimmy Tan Chee Wee.
Dalam kenyataannya hari ini, Tan berkata, bagi separuh pertama tahun 2025, Fiamma mencatatkan pemulihan keuntungan yang ketara dengan untung selepas cukai melonjak lebih empat kali ganda kepada RM50.14 juta berbanding RM12.52 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi itu disokong keputusan stabil daripada segmen Trading & Services dan Pembangunan Hartanah, selain didorong oleh pelaksanaan korporat serta sumbangan syarikat bersekutu.
Hasil pula berjumlah RM181.36 juta, sedikit rendah daripada RM186.03 juta sebelum ini.
Menurutnya, segmen Trading & Services kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kumpulan dengan lebih 2,000 titik agihan di seluruh negara, ditunjangi jenama kukuh, kemampuan selepas jualan yang mantap serta komitmen berterusan terhadap kesesuaian produk.
Bagi membina pemacu pendapatan baharu, Tan berkata, Fiamma telah memperluas portfolio peralatan rumahnya meliputi kategori dobi, pembersihan dan pencucian pinggan, yang dijangka mengukuhkan penawaran penyelesaian rumah menyeluruh kumpulan dari semasa ke semasa.
Salah satu tumpuan utama dalam pelan pengembangannya ialah kemasukan Fiamma ke dalam pasaran penghawa dingin bernilai RM3.3 bilion pada Julai 2025.
“Kami masih di fasa awal, namun pelaksanaan di seluruh negara membuka ruang untuk menembusi segmen besar yang sedang berkembang pesat. Matlamat kami adalah penembusan berhemah dan pertumbuhan pasaran secara berterusan seiring pembinaan kredibiliti,” katanya.
Pada masa sama katanya, Fiamma turut menggandakan tumpuan dalam segmen penjagaan kesihatan dan peranti perubatan, disokong peruntukan RM1 bilion untuk sektor kesihatan di bawah Belanjawan 2026.
Segmen ini memberi keutamaan kepada peralatan perubatan bertaraf hospital serta peranti kesihatan pengguna, yang menawarkan permintaan berulang dan jangkaan pertumbuhan lebih stabil.
Mengulas segmen hartanah, Tan berkata, kumpulan mencatatkan perkembangan konsisten melalui dua pembangunan syarikat bersekutu yang masing-masing dimiliki 30%, dengan kadar jualan 50%-90% dan kemajuan pembinaan 15%-20%.
Projek berkenaan dijangka terus menyumbang secara berperingkat selaras perkembangan kitaran pembangunannya.
Katanya, strategi pengembangan Fiamma kekal berlandaskan pengurusan modal yang berdisiplin serta profil kewangan konservatif.
“Kami berkembang dalam bidang yang kami kukuhkan, dan mempelbagaikan ke kawasan yang boleh memberi nilai tambah. Fokus kami adalah keuntungan mapan, margin lebih kukuh dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” ujarnya. - DagangNews.com








