KUALA LUMPUR 27 Ogos – FGV Holdings Bhd mencatatkan untung bersih lebih tinggi sebanyak RM137 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), berbanding RM86 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata, pendapatan kumpulan meningkat kepada RM5.79 bilion pada suku berkenaan berbanding RM5.52 bilion sebelumnya, disokong oleh prestasi lebih kukuh dalam divisyen perladangan.
“Kenaikan 5.0 peratus pendapatan kumpulan disokong oleh harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi iaitu RM4,218 setan berbanding RM4,103 setan pada suku sama tahun lalu.
“Namun, sumbangan daripada beberapa perniagaan hiliran agak sederhana, khususnya dalam divisyen minyak dan lemak,” kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, prestasi suku ini mencerminkan daya tahan FGV dalam menghadapi persekitaran mencabar.
"Kami bukan sahaja memperkukuh perniagaan teras, malah membina laluan pertumbuhan baharu untuk masa depan. Gabungan kestabilan dan transformasi ini membolehkan kami mara ke hadapan dengan lebih seimbang,” katanya.
Divisyen Perladangan merekodkan keuntungan RM157 juta berbanding RM101 juta tahun lalu, dipacu pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) lebih tinggi sebanyak 1.13 juta tan metrik (MT) berbanding 0.96 juta MT sebelumnya.
Hasil ladang meningkat kepada 4.45 MT sehektar berbanding 3.76 MT sehektar, manakala kos operasi ladang menurun 21 peratus. Walaupun kadar perahan minyak (OER) sedikit rendah kepada 20.09 peratus berbanding 20.48 peratus, jumlah BTS yang diterima meningkat 5 peratus kepada 3.85 juta MT.

Divisyen Lain
Divisyen minyak & lemak mencatat keuntungan RM46 juta, dipengaruhi margin perdagangan lebih sempit dan permintaan lebih lembut bagi oleokimia serta biodiesel. Namun segmen minyak masak menunjukkan prestasi positif dengan margin lebih kukuh.
Keuntungan divisyen logistik dan sokongan meningkat kepada RM45 juta berbanding RM38 juta, sebahagiannya hasil pembalikan rosot nilai sebanyak RM12 juta. Tanpanya, keuntungan lebih rendah akibat kadar pengendalian pukal menurun.
Kerugian divisyen gula mengecil kepada RM21 juta berbanding RM30 juta, didorong margin lebih baik dan kadar penggunaan kapasiti lebih tinggi meskipun harga jualan purata lebih rendah.
Produk pengguna pula merekodkan rugi lebih rendah kepada RM7 juta berbanding RM21 juta tahun lalu, dipacu margin lebih baik dan subsidi kerajaan bagi minyak masak botol.
Prospek
Dengan harga MSM dijangka kekal stabil, disokong pengeluaran lebih baik hasil cuaca yang menggalakkan serta kitaran tanaman bermusim dijangka memberikan kelebihan kepada FGV. Permintaan eksport juga dijangka kekal kukuh berikutan daya saing harga MSM berbanding minyak boleh dimakan lain.
Sehubungan itu FGV menjangkakan pengeluaran BTS lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini dengan keutamaan terhadap kecemerlangan operasi, peluasan produk nilai tambah, serta pengukuhan kecekapan rantaian bekalan.
Mulai 28 Ogos 2025, FGV akan dinyahsenarai rasmi daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia – langkah strategik bagi memperkukuh penjajaran dengan pemegang saham utama, FELDA, sekali gus memberi kelincahan lebih besar kepada kumpulan.
“FGV akan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan: produktiviti, pertumbuhan dan rakyat. Pertumbuhan pula akan dipacu kepelbagaian produk, pembangunan pasaran, ekonomi kitaran, kolaborasi strategik, digitalisasi serta peralihan tenaga. Paling penting, rakyat kekal di hati FGV,” ujar Fakhrunniam. - DagangNews.com








