FBG raih kontrak RM238.1 juta bina hotel 25 tingkat di Mid Valley Southkey Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FBG raih kontrak RM238.1 juta bina hotel 25 tingkat di Mid Valley Southkey Johor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb – FBG Holdings Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, FBG Builder Sdn Bhd memperoleh kontrak pembinaan hotel bernilai RM238.1 juta di The Mall, Mid Valley Southkey, Johor Bahru.

 

Kontrak terbaharu itu meningkatkan buku tempahannya kepada RM1.23 bilion dan mengukuhkan lagi kehadirannya di selatan tanah air.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata FBG Builder menerima surat setuju terima daripada MVS Southpoint Hotel Sdn Bhd, anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya IGB Berhad, bagi melaksanakan kerja-kerja utama pembinaan satu blok bangunan komersial di bawah Fasa 3 yang terletak di atas pusat beli-belah The Mall, Mid Valley Southkey.

 

“Kontrak tersebut melibatkan pembinaan dan menyiapkan kerja-kerja utama bagi sebuah bangunan hotel setinggi 25 tingkat yang menempatkan 375 bilik serta kemudahan berkaitan.

 

“Projek itu dijadualkan bermula pada 1 Mac 2026 dan dijangka siap pada 30 Jun 2028, dengan tempoh pelaksanaan selama dua tahun empat bulan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut FBG, kontrak terbaharu ini meningkatkan nilai buku tempahan kumpulan kepada RM1.23 bilion, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang positif sehingga 2028.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan FBG, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, penganugerahan kontrak itu mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan di Johor dan mencerminkan keyakinan rakan niaga terhadap kepakaran teknikal, pengurusan projek yang berdisiplin serta keupayaan menyiapkan projek berkualiti secara konsisten.

 

Beliau berkata, kumpulan akan mengekalkan piawaian yang ketat, pelaksanaan tepat pada masanya serta kerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kejayaan projek berkenaan.

 

Katanya, disokong oleh saluran projek yang kukuh, kontrak tersebut bukan sahaja memperluas jejak operasi FBG di Johor, malah dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi serta pertumbuhan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com