Favelle Favco raih lima kontrak pembekalan kren bernilai RM147.1 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Favelle Favco raih lima kontrak pembekalan kren bernilai RM147.1 juta

Gambar/FB Favelle Favco Group
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Mac - Pengeluar kren pembinaan, Favelle Favco Bhd memperoleh lima kontrak bernilai RM147.1 juta untuk pembekalan kren luar pesisir dan kren menara.

 

Menurut syarikat itu, kontrak pertama untuk kren menara dianugerahkan kepada Shanghai Favco Engineering Machinery Manufacturing Co Ltd oleh Favco Heavy Industry (Changshu) Co Ltd, dengan penghantaran yang dijadualkan bermula dari suku kedua hingga suku ketiga 2025.

 

"Kontrak kren menara kedua pula dianugerahkan kepada Favelle Favco Cranes Pty Limited oleh Marr Contracting Pty Ltd dan dijangka diserahkan menjelang suku ketiga 2025," kata Favelle Favco dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Katanya, tiga kontrak selebihnya untuk kren luar pesisir diperoleh oleh Favelle Favco Cranes (M) Sdn Bhd. 

 

Tambah syarikat tersebut, kontrak pertama yang dianugerahkan oleh Servizi Energia Italia SpA, dijadualkan untuk penghantaran bertahap dari akhir 2025 hingga suku pertama 2026.

 

"Dua kontrak lain pula dianugerahkan oleh Favelle Favco Machinery and Equipment LLC dan Malaysia Marine And Heavy Engineering Sdn Bhd. 

 

"Kontrak pertama dijangka dihantar menjelang suku kedua 2026, manakala kontrak kedua dijadualkan untuk penghantaran pada akhir 2025," jelasnya.

 

Favelle Favco berkata, kelima-lima kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya. - DagangNews.com