KUALA LUMPUR 9 Mac – Penyedia perkhidmatan sewaan generator, Express Powerr Solutions (M) Bhd terus mengukuhkan kehadirannya di rantau Asia Tenggara dengan penubuhan subsidiari baharu di Indonesia iaitu PT. Express Power Energy.
Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperluas pasaran di luar Malaysia dan memanfaatkan peluang dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Express Powerr berkata subsidiari baharu ini dimiliki 99 peratus oleh anak syarikatnya di Malaysia iaitu Express Energy Solutions Sdn Bhd, dan telah didaftarkan secara rasmi pada 6 Mac 2026.
“Dengan penubuhan PT. Express Power Energy di Indonesia, Express Powerr kini bersedia menawarkan perkhidmatan generator dan rumusan kuasa lengkap di negara itu.
“PT. Express Power Energy akan memberi fokus kepada penyewaan generator dan menyediakan peralatan sokongan termasuk papan pengagihan elektrik, panel penyelarasan generator, transformer, switchgear, load bank, dan kabel,” katanya dalam makluman tersebut.
Langkah itu membolehkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan bekalan kuasa yang fleksibel dan menyeluruh untuk pelbagai keperluan.
Pengarah Urusan Express Powerr, Lim Cheng Ten berkata pasaran Indonesia menawarkan peluang besar bagi perkhidmatan sewaan generator kerana negara itu sedang mengalami pembangunan infrastruktur yang pesat dan pertumbuhan industri yang mantap.
“Selain itu, faktor geografi Indonesia yang luas meningkatkan permintaan terhadap bekalan kuasa sementara dan boleh dipercayai.
“Penubuhan subsidiari di Indonesia selaras dengan strategi syarikat untuk mengembangkan rangkaian pelanggan di rantau ini. Dengan asas industri yang berkembang dan aktiviti pembangunan yang tinggi, Indonesia dianggap sebagai pasaran yang sangat berpotensi untuk perkhidmatan generator,” katanya.
Express Powerr akan menumpukan usaha untuk membina reputasi sebagai penyedia perkhidmatan generator yang boleh dipercayai, sambil memperkukuh kehadirannya di pasaran serantau. Syarikat percaya bahawa pengalaman dan kepakaran yang diperoleh di Malaysia dapat diterapkan dengan baik di Indonesia.
Sejak penubuhannya pada 2005, Express Powerr telah membina asset generator bergerak dan kanopi dengan kapasiti yang pelbagai. Syarikat ini menyediakan perkhidmatan bukan sahaja kepada syarikat utiliti elektrik tetapi juga kepada sektor M&E, pembuatan, pembinaan, acara, serta agensi kerajaan. - DagangNews.com








