KUALA LUMPUR 30 Jun - Enproserve Group Bhd bersedia meluaskan operasi pada 2026 dan 2027, dengan fokus utama kepada kerja penyelenggaraan terbesar negara di Kompleks Bersepadu Pengerang serta meneroka perniagaan baharu seperti sewaan kren mudah alih dan pengurusan kemudahan.
Pengarah Urusannya, Azman Yusof berkata, syarikat yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dalam sektor minyak dan gas serta petrokimia itu, sedang menambah mesin dan kenderaan bagi projek tersebut.
"Ini adalah kerja penyelenggaraan pertama di Pengerang yang perlu dilaksanakan selewat-lewatnya pada 2027.
"Ia memerlukan banyak peralatan dan tenaga kerja untuk menghentikan operasi loji, buka dan periksa mesin, baiki kerosakan jika ada dan hidupkan semula loji," katanya kepada StarBiz.
Menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 18 Julai ini, Enproserve akan menawarkan 210 juta saham baharu kepada orang ramai pada harga 24 sen sesaham melalui tawaran awam permulaan (IPO), dengan jangkaan mengumpul dana sebanyak RM50.4 juta.
Selain itu, Azman turut menjual 105 juta saham miliknya, menyebabkan pegangan beliau berkurang kepada 70% selepas penyenaraian.
Daripada dana yang diperoleh, sebanyak RM23.68 juta atau 47% akan digunakan untuk membeli mesin, kren, lori dan membina depoh kren bagi menyokong projek sedia ada dan akan datang tanpa menjejaskan keuntungan syarikat.
Enproserve berjaya melaksanakan 14 kontrak dari 2019 hingga 2023.
Syarikat kini sedang melaksanakan 33 kontrak, termasuk enam projek penyelenggaraan loji yang akan berjalan hingga 2029.
Kontrak-kontrak tersebut merangkumi kerja penyelenggaraan utama, lima kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), dua pengurusan kemudahan dan tujuh untuk sewaan kren.
Kebanyakannya adalah kontrak jangka panjang di bawah perjanjian perkhidmatan induk, yang memberi pendapatan berulang setiap kali kerja dimulakan oleh pelanggan.
Daripada hasil IPO, sebanyak RM11.65 juta atau 23% akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, yang dijangka menurunkan nisbah hutang bersih syarikat daripada 1.07 kepada 0.50 kali.
Sejumlah RM10 juta atau 20% lagi akan digunakan untuk modal kerja, manakala RM5.03 juta 10% bagi menampung kos penyenaraian.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Enproserve mencatat hasil sebanyak RM198.41 juta dan keuntungan bersih RM20.22 juta.
Bahagian penyelenggaraan loji kekal sebagai penyumbang utama, sebanyak RM164.95 juta atau 83% daripada jumlah pendapatan.
Pendapatan daripada sewaan peralatan, kenderaan dan pembekalan tenaga kerja meningkat lebih dua kali ganda kepada RM11.5 juta berbanding RM4.08 juta pada tahun sebelumnya.
Kenaikan berkenaan didorong oleh tujuh kontrak jangka panjang yang dimeterai dengan kumpulan Petronas pada September 2023.
Sejak mendapat kontrak tersebut, syarikat telah membeli 21 kren mudah alih, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 24 unit dengan kos RM34.5 juta.
Kontrak-kontrak itu berlangsung dari 2023 hingga 2026, dengan pilihan untuk dilanjutkan selama dua tahun lagi.
Sementara itu, kontrak EPCC menyumbang RM10.98 juta (5.5%) dan pengurusan kemudahan sebanyak RM11.08 juta (5.6%).
Lima pelanggan utama menyumbang 98.3% daripada pendapatan syarikat, dengan dua yang terbesar adalah Pengerang Refining and Petrochemical (usaha sama Petronas dan Saudi Aramco) dan Petronas secara keseluruhan.
Azman pada masa sama mengakui, syarikat memang bergantung kepada Petronas buat masa ini.
"Sebagai syarikat tempatan dalam sektor minyak dan gas, ia adalah perkara biasa. Penyenaraian ini adalah peluang kami untuk membina jenama sendiri," katanya.
Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menyumbang 4.1% pendapatan FY24 melalui kontrak pengurusan kemudahan bangunan kerajaan.
Permohonan IPO Enproserve akan ditutup pada 8 Julai 2025. - DagangNews.com








