ENGIE, Sunway bekerjasama perluas rangkaian DCS bernilai RM2 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ENGIE, Sunway bekerjasama perluas rangkaian DCS bernilai RM2 bilion

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 18 Nov – Usaha memperkukuh infrastruktur tenaga rendah karbon di Malaysia mencapai satu lagi lonjakan penting apabila ENGIE dan Sunway Property mengumumkan peluasan sistem pendinginan berpusat Sunway Square bagi menyokong kemudahan pendidikan Sunway Education Group (SEG), termasuk kampus Sunway University dan Sunway College.

 

Peluasan melalui usaha sama ENGIE-Sunway DCS Sdn Bhd ini dibangunkan berasaskan kejayaan sistem DCS pertama yang beroperasi pada Jun 2025 untuk Sunway Square, pembangunan bercampur bernilai RM2 bilion yang merangkumi pejabat Gred A, ruang runcit, pusat seni persembahan dan blok universiti.

 

Menurut kenyataan bersama hari ini, rangkaian DCS yang diperluas, dijangka siap pada September 2026 akan menyalurkan sehingga 3,000 refrigeration tonnes (RT) kapasiti penyejukan bagi lapan bangunan SEG, termasuk Engineering Annex, Faculty of Engineering & Technology dan Graduate Centre.

 

Penyelesaian itu memenuhi sehingga 60% keperluan penyejukan puncak kampus serta kira-kira 75% permintaan tahunan, sekali gus mengurangkan 29% pelepasan karbon, bersamaan lebih 48,000 tan CO₂ yang dielakkan sepanjang kontrak 24 tahun.

 

Menurut kenyataan itu, inisiatif ini sejajar sasaran Malaysia mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45% menjelang 2030 di bawah Perjanjian Paris.

 

Peluasan ini turut memperkukuh komitmen ENGIE dan Sunway Property dalam membangunkan infrastruktur bandar rendah karbon berskala besar yang berteraskan prinsip kelestarian.

 

Ia juga dibina atas kejayaan fasiliti DCS pertama berkapasiti 7,000 RT yang kini beroperasi untuk empat bangunan komersial di Sunway Square, membuktikan district cooling mampu menghasilkan penjimatan tenaga dan karbon yang ketara dalam persekitaran pembangunan padat.

 

Pengarah Urusan Asia Tenggara ENGIE, Jacques Boonen berkata, peluasan ini menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam kerjasama kami dengan Sunway Property untuk membentuk generasi baharu bandar mampan. 

 

“Ia membuktikan kelestarian dan pertumbuhan boleh bergerak seiring. Apa yang kami bina bersama Sunway bukan sekadar infrastruktur, tetapi model penyelesaian penyejukan maju yang menyokong peralihan rendah karbon Malaysia,” katanya. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property (Wilayah Tengah & Utara), Chong Sau Min berkata, sebagai pemaju komuniti, kelestarian merupakan teras pembangunan kami. 

 

"Kejayaan DCS pertama di Sunway Square adalah pencapaian penting dan peluasan ini membawa kami lebih dekat kepada bandar yang lebih pintar dan rendah karbon.

 

"Integrasi penyelesaian tenaga canggih ini mengukuhkan ekosistem Sunway City Kuala Lumpur," katanya.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Education Group, Datuk Elizabeth Lee pula berkata, usaha ini memberi peluang kepada pelajar dan ahli akademik untuk menghubungkan teori dan aplikasi sebenar.

 

“Kerjasama ini meningkatkan kecekapan tenaga sambil mengurangkan pelepasan karbon. Ia menjadi contoh bagaimana infrastruktur inovatif menyokong pertumbuhan institusi dan tindakan iklim,” katanya.

 

Sejak 2020, kerjasama ENGIE–Sunway Property berkembang sehingga pelaksanaan projek DCS Sunway Square pada 2022. 

 

Loji penyejukan itu, yang beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2025, menampilkan reka bentuk Chilled Water Thermal Energy Storage (TES) tank berfungsi seperti "bateri mekanikal", meningkatkan kecekapan dan ketahanan sistem.

 

ENGIE turut mengambil pendekatan inovatif dengan mengintegrasikan tangki TES dalam spiral car ramp, penyelesaian yang menjimatkan ruang dan mengekalkan integrasi seni bina lancer, satu penanda aras baharu integrasi infrastruktur mampan dalam kawasan berketumpatan tinggi.

 

Menurut kenyataan itu, DCS Sunway Square disasarkan mencapai sekitar 20% penjimatan tenaga untuk sistem pendingin hawa dan pengurangan CO₂, sekali gus membentuk rangkaian penyejukan lebih luas merentasi pembangunan komersial dan institusi.

 

ENGIE kini mengendalikan 100 rangkaian district cooling termasuk projek terulung seperti Megajana DCS di Cyberjaya, Northgate DCS di Filipina dan Punggol Digital District DCS di Singapura, membuktikan rekod kukuh dalam penyampaian penyelesaian tenaga rendah karbon. - DagangNews.com