Enam rakyat Malaysia terima Anugerah Regal British atas sumbangan kepada kemanusiaan global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Enam rakyat Malaysia terima Anugerah Regal British atas sumbangan kepada kemanusiaan global

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 4 Nov – Enam rakyat Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Regal British Award oleh pertubuhan World Humanitarian Drive (WHD) di Sidang Kemuncak Trilateral – World Humanitarian Summit 2025 yang berlangsung di Dewan Pertuanan, Parlimen United Kingdom pada 30 Oktober lalu.

 


Antara penerima anugerah berprestij itu ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Quad Destiny Holdings Bhd, Dr Ahmad Tarmizi Mukhtar; Presiden Persatuan Akauntan Bertauliah Malaysia, Prof Dr Tan Yen Wooi; Pengasas Kumpulan Masyi, Datuk Dr Mazlan Ahmad; Pengasas SS International, Datuk Dr Suchdav; Dr Pun Sin Joo dan Mahadevan Durairaj.

 

Majlis tersebut dianjurkan oleh Rt. Hon. Baroness Verma dari Leicester, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bagi meraikan individu serta organisasi yang mempromosikan keamanan, kemakmuran dan nilai kemanusiaan sejagat.

 

Pengasas WHD, Dr Abdul Basit Syed berkata, setiap penerima anugerah dipilih berdasarkan sumbangan besar mereka terhadap projek kemanusiaan dan pembangunan sosioekonomi di peringkat global.

 

Katanya, Regal British Award adalah sebahagian daripada inisiatif WHD bertemakan ‘Honouring the Honourable’ bagi menghargai tokoh-tokoh yang memainkan peranan penting dalam pembangunan keamanan dan kesejahteraan sejagat.

 

Sementara itu, Ketua WHD Malaysia, Datuk Dr GP Doraisamy berkata, objektif utama penganugerahan tersebut adalah untuk mengiktiraf sumbangan individu dan organisasi yang memperkukuh kemakmuran sosioekonomi dunia, khususnya dalam landskap global yang penuh cabaran.

 


“Anugerah ini menunjukkan penghargaan terhadap mereka yang berjaya membawa perubahan ketara kepada manusia dan meneguhkan komitmen bersama untuk membina dunia berasaskan keamanan, etika dan kerjasama sejagat,” katanya.

 


Sidang kemuncak tahun ini yang bertemakan ‘Trade for Peace’ turut menghimpunkan Ahli Parlimen, diplomat, pemimpin industri, inovator, pendidik dan aktivis kemanusiaan dari 33 negara, bagi meneroka bagaimana perdagangan global boleh menjadi jambatan kepada keamanan dan kemakmuran bersama.

 

Sementara itu Dr Ahmad Tarmizi berkata, pengiktirafan tersebut merupakan penghormatan besar buat Malaysia, khususnya ketika negara ini mempengerusikan ASEAN tahun ini.

 

"Anugerah itu turut melambangkan kejayaan diplomasi Malaysia yang kini mendapat perhatian global selepas sebahagian pemimpin dunia hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya. - DagangNews.com