El-Nino pertengahan tahun ini ancam minyak sawit mentah, TA Securities unjur harga RM4,000 setiap tan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

El-Nino pertengahan tahun ini ancam minyak sawit mentah, TA Securities unjur harga RM4,000 setiap tan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Feb – Risiko fenomena El-Nino pada tempoh separuh kedua 2026 dinilai sebagai isu kritikal yang boleh mengancam bekalan dan harga minyak sawit mentah (MSM), menurut TA Securities.


Firma itu berkata, sektor perladangan memasuki 2026 dalam persekitaran cabaran iklim serta aliran perdagangan global yang kompleks, termasuk kelewatan pelaksanaan mandat biodiesel B50 Indonesia.


Tambahnya, walaupun permintaan struktur terhadap MSM kekal kukuh, hala tuju harga komoditi itu masih dipacu faktor bekalan, khususnya ketidaktentuan pengeluaran akibat perubahan cuaca secara negatif.


"Justeru, kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor berkenaan dengan andaian harga purata MSM hanya cecah RM4,000 setiap tan bagi sepanjang 2026," kata TA Securities dalam notanya.


Ia merujuk laporan berhubung amaran risiko tinggi El-Nino terbentuk pada 2H26 susulan perubahan corak cuaca Lautan Pasifik, apabila La-Nina berubah semakin lemah ketika suku pertama tahun ini.


Secara sejarah, data menunjukkan El-Nino berlaku sebanyak 28 kali sejak 1950 berbanding 25 kali La-Nina, dengan beberapa situasi kuat memberi kesan besar terhadap hasil pertanian, termasuk MSM.


TA Securities menjelaskan, pokok kelapa sawit lebih sensitif kepada El-Nino berbanding La-Nina, seperti pada 1997-1998 dan 2015-2016 menyaksikan kemerosotan pengeluaran ketara hampir dua tahun.


"Sebaliknya, La-Nina lemah lazimnya menyokong pertumbuhan hasil selepas tempoh sekitar enam bulan, kerana taburan hujan cukup membantu pemulihan pokok tanpa menjejaskan operasi penuaian," jelasnya.


Prestasi pengeluaran kukuh pada 2025 menunjukkan kesan El-Nino 2023-24 yang sebahagian diredakan oleh keadaan cuaca lebih baik, manakala dari sudut harga, kitaran MSM kekal dipacu faktor bekalan.


Lonjakan harga kelazimannya berlaku ketika gangguan bekalan, bukan peningkatan permintaan semata-mata, seperti semasa El-Nino dan tempoh wabak Covid-19 apabila harga mencecah RM7,000 satu tan.


Bagi senario asas 2026, TA Securities menjangkakan fasa pemulihan pengeluaran susulan kesan El-Nino tertunda lalu, dengan harga MSM diunjur bergerak dalam julat RM3,500 hingga RM4,000 satu tan.


"Bagaimanapun, jika El-Nino baharu muncul pertengahan 2026, pertumbuhan pengeluaran boleh terjejas dan mencetuskan lonjakan harga hingga RM5,500 pada separuh kedua akibat bekalan kurang," katanya.


Justeru, saham perladangan huluan seperti KLK, TSH Resources, United Malacca dan Kim Loong dilihat lebih sensitif kepada turun naik harga MSM memandangkan hasilnya yang bergantung secara langsung.


Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas tiga syarikat tersebut, namun masih lagi syor 'pegang' bagi Kim Loong, serta 'jual' terhadap saham IOI Corporation dan SD Guthrie.


Firma itu turut mengingatkan risiko utama termasuk isu gangguan bekalan kacang soya di rantau Amerika Selatan, pemulihan permintaan global dan kos pengeluaran tinggi. - DagangNews.com