Ekovest peroleh konsesi 54 tahun bagi projek Lebuhraya Istana–Kiara bernilai RM2.32 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekovest peroleh konsesi 54 tahun bagi projek Lebuhraya Istana–Kiara bernilai RM2.32 bilion

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Mac - Ekovest Berhad menerusi anak syarikatnya, Lebuhraya DUKE Fasa 2A Sdn Bhd (LDF2A) memperoleh konsesi selama 54 tahun daripada kerajaan bagi projek Laluan Istana–Kiara Expressway (LIKE).

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Ekovest memaklumkan kos pembinaan lebuh raya tersebut dianggarkan berjumlah RM2.32 bilion.

 

Di bawah perjanjian konsesi itu, LDF2A diberikan kuasa penuh untuk menaik taraf serta melebarkan jalan sedia ada, memasang peralatan kutipan tol dan telekomunikasi, selain mengendalikan serta menyelenggara lebuh raya berkenaan.

 

Syarikat itu juga bertanggungjawab mengurus kemudahan sampingan serta mengutip tol sepanjang tempoh konsesi.

 

Menurut Ekovest, perjanjian konsesi tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan serta meningkatkan aset ketara bersih kumpulan.

 

Kos pembinaan projek itu dijangka dibiayai melalui gabungan dana dalaman, pinjaman dan/atau pelaksanaan langkah pengumpulan dana lain. - DagangNews.com