Ekovest dapat kelulusan KWSP lanjutkan tempoh lepaskan pegangan konsesi DUKE hingga 13 Feb 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekovest dapat kelulusan KWSP lanjutkan tempoh lepaskan pegangan konsesi DUKE hingga 13 Feb 2027

Lebuhraya DUKE
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb – Ekovest Bhd memperoleh kelulusan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lanjutan setahun lagi untuk melaksanakan pelan keluar daripada Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (Kesturi) sehingga 13 Februari 2027.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ekovest berkata lanjutan tempoh itu bertujuan memberi ruang kepada kedua-dua pihak menilai dan melaksanakan pelan keluar atau sebarang pelan alternatif yang berdaya maju, demi kepentingan bersama.

 

Untuk rekod, Ekovest menjual 40% pegangan dalam Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd kepada KWSP pada 2017 dengan nilai RM1.13 bilion. 

 

Perjanjian pemegang saham menetapkan cara keluar melalui penyenaraian atau penjualan pegangan dalam tempoh lima tahun, dengan lanjutan automatik dua tahun yang berakhir pada 13 Februari 2024.

 

Sebelum ini, lanjutan telah diberi selama dua tahun, manakala kelulusan terbaharu melanjutkan tempoh setahun lagi.

 

Di bawah perjanjian tersebut, KWSP dijamin memperoleh pulangan minimum sebanyak 10%, dan pulangan itu boleh meningkat sehingga 11.5% sekiranya pelan keluar berjaya dilaksanakan.

 

Jika pelan keluar tidak berlaku sehingga tamat tempoh lanjutan, KWSP boleh menggunakan haknya untuk menjual pegangan tersebut kembali kepada Ekovest dengan pulangan 10% dalam tempoh enam bulan selepas tarikh lanjutan berakhir.

 

Jika opsyen tersebut tidak dilaksanakan, KWSP pula berhak mengambil alih keseluruhan pegangan Nuzen Corp Sdn Bhd dalam Kesturi.

 

Kesturi merupakan pemegang konsesi Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (Duta-Ulu Kelang Expressway).

 

Dari segi prestasi kewangan, Ekovest berjaya menamatkan tujuh suku yang mengalami kerugian apabila mencatatkan keuntungan bersih RM8.28 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2025, berbanding kerugian bersih RM24.86 juta setahun sebelumnya. 

 

Pendapatan meningkat 21.8% kepada RM329.39 juta daripada RM270.44 juta. - DagangNews.com