KUALA LUMPUR 13 Feb – Ekonomi Malaysia berkembang 6.3% pada suku tahun keempat 2025, kadar terpantas dalam 12 suku tahun sejak 4Q22 iaitu 7.4%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Prestasi itu mengatasi anggaran awal 5.7% serta berbanding 5.4% yang dicatatkan pada suku tahun ketiga 2025, didorong momentum kukuh pada Oktober (6.3%), November (5.4%) dan Disember (7.2%).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut disokong oleh pengukuhan permintaan domestik termasuk perbelanjaan sempena cuti persekolahan dan perayaan.
"Kestabilan pasaran buruh, perkembangan pesat aktiviti pusat data (DC) turut menyumbang signifikan kepada peningkatan pelaburan dan aktiviti pembinaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia merangsang subsektor utiliti serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dengan pelarasan musim suku ke suku, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat 0.8% berbanding 2.7% pada 3Q25.
Sektor perkhidmatan berkembang kira-kira 6.3% (3QFY25: 5.5%), dipacu perdagangan borong dan runcit yang naik 5.7% serta ICT yang melonjak sebanyak 8.9%, selari perkembangan awal operasi DC.
Sementara sektor pembuatan mencatat pertumbuhan 6.1% (3QFY25: 4.1%), dijana industri berasaskan eksport khususnya produk elektrik, elektronik serta optikal yang berkembang sebanyak 12.7%.
"Sektor pembinaan mantap 11.0%, manakala sektor pertanian pulih 5.4% disokong lonjakan subsektor kelapa sawit 16.2%, serta sektor perlombongan dan pengkuarian berkembang 2.0%," kata Mohd Uzir.
Perbelanjaan penggunaan akhir swasta (PFCE) pula jelas beliau, meningkat 5.3% berbanding 5.0% pada suku sebelumnya, didorong perbelanjaan isi rumah dalam pengangkutan serta restoran dan hotel.
Pembentukan modal tetap kasar (PMTK) berkembang 9.3% (3QFY25: 7.4%), dipacu peningkatan pelaburan dalam komponen struktur, manakala perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan (GFCE) turut naik 8.0%.
Bagaimanapun tambah beliau, eksport bersih didapati menyusut 45.8% susulan pertumbuhan import lebih tinggi 7.9% berbanding eksport 3.9%, terutama disebabkan peningkatan import barangan modal.
"Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang 5.2% bagi tahun lalu berbanding 5.1% pada 2024, diterajui sektor perkhidmatan (5.5%), pembuatan (4.5%) dan pembinaan (12.2%)," katanya lagi.
Menurut Mohd Uzir, prospek 2026 dijangka positif disokong permintaan domestik, aktiviti pelaburan serta penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dan pengembangan industri DC
Keadaan tersebut jelas beliau, diramal berkeupayaan dalam memperkukuh kedudukan negara sebagai hab perkhidmatan dan pelaburan digital serantau. - DagangNews.com








