Ekonomi Malaysia catat 5.4% pada suku pertama 2026 masih kukuh disokong permintaan domestik – BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia catat 5.4% pada suku pertama 2026 masih kukuh disokong permintaan domestik – BNM

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Mei – Malaysia masih berjaya mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.4% bagi suku pertama 2026 disokong permintaan domestik berdaya tahan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).


Tambah bank pusat tersebut, pertumbuhan ekonomi negara sepanjang tiga bulan berkenaan bagaimanapun dianggap sebagai lebih sederhana berbanding kira-kira 6.2% yang dicatatkan pada suku sebelumnya.


Situasi itu menunjukkan Malaysia masih stabil di sebalik ketegangan geopolitik mendorong kenaikan harga minyak dunia, dan gangguan rantaian bekalan global mula memberi tekanan kepada ekonomi serantau.


"Perbelanjaan isi rumah terus disokong keadaan pasaran buruh yang positif, kadar pengangguran rendah dan pelaksanaan pelbagai langkah dasar bersasar oleh kerajaan," kata BNM menerusi satu kenyataan.


Aktiviti pelaburan pula ujarnya, dipacu pelaksanaan projek berbilang tahun sektor swasta dan awam, kadar realisasi pelaburan diluluskan yang tinggi serta kemajuan dalam pelaksanaan pelan induk nasional.


Dari sudut sektor luaran, eksport berkembang kukuh terutama segmen elektrik dan elektronik (E&E) meraih manfaat daripada permintaan global terhadap produk kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC).


Pertumbuhan sektor perkhidmatan namun sederhana dengan jualan automotif turun susulan pembelian lebih awal sebelum tamat pengecualian duti import kenderaan elektrik (EV) pada 31 Disember 2025.


"Sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup disebabkan pengeluaran minyak dan gas (O&G) lebih rendah, tetapi pembinaan pula kembali normal selepas pertumbuhan dua angka sebelum ini," katanya.


BNM menambah, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi Malaysia menguncup sedikit sebanyak 0.01%, berbanding pertumbuhan kira-kira 1.4% ketika tempoh suku keempat tahun lalu.


Dalam perkembangan berkaitan, inflasi secara keseluruhan jelasnya, didapati meningkat kepada 1.6% berbanding 1.3% sebelumnya susulan kesan awal kenaikan kos global akibat konflik Timur Tengah.


Menurut kenyataan bank pusat tersebut, kenaikan harga elektrik serta bahan api terutama petrol RON97 dan diesel menjadi faktor utama terhadap peningkatan inflasi yang berlaku pada suku itu.

 

Bank Negara Malaysia_DagangNews


"Bagaimanapun, inflasi teras terus sederhana kepada 2.1% berbanding 2.3% yang pernah dicatatkan pada suku sebelum ini, dan mencerminkan tekanan harga domestik yang masih terkawal," katanya.


Pada masa sama, ringgit terus menunjukkan prestasi baik apabila mengukuh 0.5% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan meningkat 1.4% dari segi kadar pertukaran efektif nominal (NEER).


Tambah BNM lagi, pengukuhan nilai ringgit pada suku pertama tersebut disokong oleh faktor asas ekonomi domestik yang kukuh serta aliran masuk berterusan pelabur asing ke pasaran tempatan.


Sementara itu jelasnya, pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 5.6% berbanding 5.3% sebelumnya, dipacu pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi.


"Bagi membantu syarikat terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi tekanan semasa, BNM juga memperkenalkan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) bernilai RM5 bilion," katanya.


Fasiliti berkenaan yang bermula hari ini ujar bank pusat tersebut, bertujuan membantu PKS yang terkesan akibat impak konflik Timur Tengah menerusi sokongan modal kerja dan bantuan aliran tunai.


Selain itu, ia bersama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) turut memperkenalkan skim jaminan yang bernilai RM10 bilion, serta akan mula ditawarkan kepada PKS mulai 1 Jun 2026.


Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, walaupun Malaysia tidak terkecuali daripada kesan ketegangan geopolitik, ekonomi negara dijangka kekal berdaya tahan.


"Pertumbuhan diunjur antara 4% hingga 5% bagi keseluruhan tahun ini, dengan permintaan domestik dan prestasi eksport berkembang dijangka menjadi penampan utama kepada cabaran luaran,” katanya.


BNM turut menjangkakan inflasi keseluruhan tahun ini berada dalam julat 1.5% hingga 2.5%, dengan risiko utama masih tertumpu kepada perkembangan harga tenaga dan komoditi global. - DagangNews.com