EI Power catat untung bersih RM6.03 juta bagi 1QFY26 menjelang penyenaraian pada 21 Mei 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EI Power catat untung bersih RM6.03 juta bagi 1QFY26 menjelang penyenaraian pada 21 Mei 2026

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 MeiEI Power Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM6.03 juta bagi tempoh suku pertama berakhir pada 31 Mac 2026, seminggu menjelang penyenaraian di Pasaran ACE.


Keuntungan berkenan didorong terutamanya oleh pelbagai tender penyediaan rumusan tenaga kritikal misi (MCPS) yang diperoleh dan menyumbang sebanyak 98.0% daripada keseluruhan hasil syarikat.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, firma kejuruteraan elektrik tersebut melaporkan jumlah hasil yang dicatatkan mencecah sebanyak RM20.75 juta sepanjang tiga bulan tinjauan suku berkenaan.


"Syarikat turut merekodkan margin untuk keuntungan kasar sebanyak 47.2% manakala margin keuntungan selepas cukai (PAT) kira-kira 29.1%," jelas EI Power yang bakal disenaraikan pada 21 Mei 2026.


Memandangkan ini merupakan laporan kewangan interim pertama yang diumumkan selaras dengan keperluan penyenaraian, tiada angka perbandingan disediakan bagi suku tahun sama tahun sebelumnya.


Selain segmen MCPS, kumpulan itu terlibat dalam perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta rumusan tenaga konvensional dan tenaga boleh diperbaharui (RE).


Mengulas mengenai prospek masa hadapan, EI Power menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan industri yang didorong oleh pembangunan pesat pusat data (DC) di Johor dan Lembah Klang.


"Pada masa sama, kumpulan ini turut melihat potensi luas dalam aktiviti pengembangan industri semikonduktor dan elektronik yang memerlukan pelbagai perkhidmatan berkaitan tenaga," jelasnya.


Setakat 24 Mac 2026, syarikat berkenaan tambahnya, mempunyai banyak tempahan kontrak yang belum dibilkan berjumlah RM99.9 juta, serta memberikan kejelasan pendapatan sehingga tahun depan.


EI Power juga bercadang menggunakan sebahagian dana terbitan daripada tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM62.16 juta untuk meluaskan asas pendapatannya ke Thailand. - DagangNews.com