KUALA LUMPUR 19 Feb - E&H Energy Sdn Bhd sedang membangunkan projek terminal regasifikasi gas (RGT) Kemaman, Terengganu, bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di Malaysia.
Projek itu akan membantu meningkatkan akses dan memastikan bekalan gas asli cecair (LNG) yang stabil untuk sektor industri, loji janakuasa dan sektor baharu seperti pusat data.
Ia akan berfungsi sebagai terminal LNG bebas yang menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai pengguna dan dijangka memainkan peranan penting dalam pasaran gas Malaysia.
Dengan mengikuti rangka kerja Akses Pihak Ketiga (TPA) yang disediakan oleh kerajaan, RGT Kemaman akan menggalakkan persaingan yang lebih sihat dalam pasaran gas serta memastikan bekalan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai untuk negara.
E&H Energy berkata, terminal berkenaan akan diuruskan secara bebas, membolehkan beberapa pihak berlesen TPA untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.
"Dengan lebih banyak akses kepada bekalan gas, projek ini bukan sahaja meningkatkan persaingan tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh Malaysia," katanya semasa majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBI Terengganu dan E&H Energy semalam seperti laporan The Sun.
Sebagai pemilik projek, E&H Energy bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu dan beberapa pihak lain untuk membangunkan terminal itu.
Syarikat juga telah mendapatkan bekalan LNG jangka panjang sebanyak 6 juta tan setahun untuk Malaysia mulai 2028.
Terminal tersebut akan memudahkan proses pengimportan, penyimpanan dan penukaran LNG kepada bentuk gas atau cecair untuk dihantar ke pengguna.
Ia juga akan menyokong eksport semula LNG jika perlu.
Terminal berkenaan akan dibangunkan dengan kecekapan tinggi dan dijangka siap dalam masa 30 bulan.
Tapak projek terletak dekat dengan saluran paip gas Petronas dan ia sesuai untuk operasi LNG dalam skala besar.
Proses kelulusan untuk projek itu sedang dijalankan dengan pihak berkuasa berkaitan.
RGT Kemaman dijangka mula beroperasi pada tahun 2028 dengan pelanggan utama terminal akan terdiri daripada sektor tenaga negara.
Selain itu, E&H Energy bersedia membekalkan sehingga 1.6 juta tan LNG setahun dari 2025 hingga 2030 dengan harga yang kompetitif.
Projek tersebut dijangka mendapat sambutan positif daripada pasaran, kerana ia menawarkan pelbagai perkhidmatan fleksibel.
Semua peraturan yang ditetapkan dalam rangka kerja TPA akan dipatuhi dan pihak pembiaya serta bank sedang berbincang untuk memastikan ia mendapat sokongan kewangan yang diperlukan.
E&H Energy percaya, RGT Kemaman akan memperluaskan keupayaan import dan regasifikasi LNG negara serta memberi sumbangan positif kepada misi tenaga bersih dan mampan pada tahun 2050. - DagangNews.com








