EG Industries terima tempahan hampir RM950 juta modul optik berkelajuan tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EG Industries terima tempahan hampir RM950 juta modul optik berkelajuan tinggi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Mei – EG Industries Bhd memperoleh tempahan baharu bernilai AS$241.6 juta (RM949.18 juta) bagi pengeluaran modul optik berkelajuan tinggi 800G dan produk berkaitan akses tanpa wayar daripada pelanggan sedia ada yang juga peneraju teknologi global.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tempahan tersebut diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, SMT Technologies Sdn Bhd yang terlibat dalam aktiviti pembuatan elektronik dan penyediaan perkhidmatan pemasangan teknologi tinggi.

 

“Pelanggan tersebut mempunyai kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertaraf dunia serta pengeluaran teknologi canggih melibatkan modul optik berkelajuan tinggi, akses jalur lebar tanpa wayar, ‘carrier ethernet’ dan pengkomputeran edge.

 

Bagaimanapun, identiti pelanggan itu tidak didedahkan dalam makluman tersebut.

 

Menurut syarikat itu, tempahan berkenaan dijangka dipenuhi secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

EG Industries berkata, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan 30 Jun 2027.

 

Tempahan hampir RM950 juta itu membuktikan syarikat terus mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan global terhadap infrastruktur pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian internet berkelajuan tinggi.

 

Modul optik 800G kini menjadi komponen penting dalam pembangunan pusat data generasi baharu kerana mampu menyokong penghantaran data pada kelajuan lebih tinggi dan kapasiti lebih besar bagi aplikasi AI serta pengkomputeran awan.

 

Perkembangan itu turut mengukuhkan kedudukan EG Industries dalam segmen pembuatan elektronik berteknologi tinggi, selain mencerminkan keyakinan pelanggan antarabangsa terhadap keupayaan pengeluaran dan teknikal kumpulan tersebut. - DagangNews.com