KUALA LUMPUR 28 Julai – Walaupun pasaran hartanah masih berdepan ketidaktentuan permintaan dan persaingan semakin sengit, Eco World Development Group Berhad pula berada pada kedudukan strategik.
Menurut CGS International (CGSI), kumpulan itu berpotensi meraih manfaat pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 di Negeri Sembilan menerusi prestasi memberangsangkan segmen taman perindustrian.
Ujarnya, menerusi sesi lawatan ke Eco Business Park 7 (EBP 7) pada 21 Julai 2026 menjadikan firma penyelidikan itu lebih optimis terhadap prospek pertumbuhan segmen perindustrian syarikat tersebut.
"EcoWorld ketika ini menunjukkan momentum jualan yang lebih kukuh daripada jangkaan bagi projek pembangunan baharu berkenaan sejak fasa 1 dilancarkan pada November 2025," katanya dalam nota.
EBP 7 jelas CGSI merekodkan jualan RM796 juta dengan kadar pengambilan mencecah kira-kira 80%, sekali gus membuktikan permintaan terhadap kawasan perindustrian di koridor MVV2.0 semakin naik.
Katanya, dengan baki nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion, kumpulan merancang fasa seterusnya melibatkan kilang berkembar menjelang akhir 2026, selain memasarkan lot industri berskala besar.

Fokus utama EcoWorld kepada syarikat multinasional termasuk pengendali pusat data (DC) dan firma tersebut berpandangan minat pembeli terus meningkat didorong harga tanah yang lebih kompetitif.
"MVV 2.0 dilihat ada prospek yang positif berbanding Lembah Klang, dengan banyak penambahbaikan infrastruktur serta usaha mempercepatkan kelulusan pelaburan di kawasan tersebut," tambah CGSI.
Jelasnya, berdasarkan perkembangan semasa, EBP 7 diunjur mampu mencatat jualan tahunan RM500 juta bagi FY27 hingga FY28, menyumbang antara 9% hingga 11% daripada keseluruhan jualan kumpulan.
Firma itu turut berkata, jualan hartanah perindustrian EcoWorld sudah melepasi RM1 bilion dari FY23 hingga FY25, manakala jualan berjumlah RM1.15 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama FY26.
CGSI menjangka segmen perindustrian terus menjadi pemacu utama pertumbuhan sepanjang FY26 hingga FY28, selain potensi pengembangan bank tanah yang mampu mengimbangi kelembapan segmen kediaman.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM2.63, disokong prospek hasil yang kukuh, potensi penjanaan aset tanah serta pulangan dividen menarik," katanya.
Bagaimanapun, firma itu mengingatkan kelewatan pelancaran projek dan pertumbuhan jualan yang lebih perlahan kekal sebagai risiko utama kepada unjuran EcoWorld dalam jangka pendek. - DagangNews.com








