KUALA LUMPUR 20 Mac - Eco World International Bhd dijangka terus menanggung kerugian bagi jangka sederhana sekiranya tidak projek baharu dilancarkan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Selain itu katanya, keputusan kewangan kumpulan itu juga bergantung kepada pemulihan pasaran, penstabilan kos dan sasaran pulangan.
"Kami mengekalkan unjuran kerugian FY25/FY26/FY27 kumpulan itu dengan anggaran jualan untuk Eco World International sebanyak RM142.8 juta untuk FY25.
"Eco World International akan kekal fokus untuk menghabiskan stok yang tidak terjual dan mengagihkan lebihan tunai kepada pemegang sahamnya.
"Memandangkan keadaan pasaran mencabar di United Kingdom, Eco World International telah menangguhkan semua pelancaran baharu yang dirancang," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM3.75 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2025 (1QFY25) berbanding untung bersih RM182,000 dalam tempoh yang sama tahun lepas, kerana syarikat itu tidak mencatatkan hasil bagi suku tersebut.
Pemaju hartanah itu mengaitkan ketiadaan hasil kepada penjualan penuh unit kediaman dalam projeknya di Australia, West Village dan Yarra One, pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2024 (FY24). Ia berkata hanya satu unit komersial masih tidak terjual.
Maybank IB berkata, kumpulan itu akan terus mencatatkan kerugian dengan kerugian bersih teras sebanyak RM3.9 juta (berbanding kerugian bersih teras RM5.4 juta pada 1QFY24, kerugian bersih teras RM15 juta pada 4QFY24), yang menyumbang 10% daripada ramalan kerugian bersih FY25.
Katanya, oleh kerana baki projek yang tidak terjual kebanyakannya adalah hartanah komersial dan unit kediaman yang lebih besar, ia mungkin mengambil masa lebih lama untuk dijual dan pihaknya menjangkakan kerugian akan meningkat pada suku tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) 27 sen sesaham. - DagangNews.com








