ECERDC peroleh RM6.4 bilion pelaburan direalisasi separuh pertama 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ECERDC peroleh RM6.4 bilion pelaburan direalisasi separuh pertama 2025

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bilangan pertama tahun 2025 pada 30 Jun 2025.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 30 Jun — Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merekodkan pelaburan direalisasi berjumlah RM6.4 bilion bagi separuh pertama 2025, sekali gus melepasi sasaran tahunan RM10 bilion susulan pelaburan komited terkini bernilai RM10.4 bilion.

 

ECERDC berkata, pencapaian itu menunjukkan keyakinan pelabur serta keberkesanan strategi dan inisiatif pemudahcara pelaburan yang dilaksanakan.

 

"Pencapaian ini dijangka mewujudkan sekitar 2,844 peluang pekerjaan di seluruh wilayah ECER," katanya dalam satu kenyataan.

 

ECERDC

 

Pahang merekodkan pelaburan tertinggi sebanyak RM4 bilion, diikuti Terengganu RM1.3 bilion dan Kelantan RM1.1 bilion, manakala Mersing menarik pelaburan bersasar RM13.3 juta dalam sektor pertanian.

 

Antara pelaburan utama ialah loji bersepadu minyak dan penapisan bernilai RM1 bilion, pembangunan pelancongan RM950 juta serta kemudahan pengeluaran Maleic Anhydride RM667 juta di Pahang.

 

Di Kelantan, loji mini hidro 84MW bernilai RM1 bilion sedang dibangunkan, manakala Terengganu merekodkan pelaburan RM638 juta bagi fasiliti pemprosesan pulverised quartz.

 

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ECERDC memainkan peranan penting dalam membentuk pembangunan inklusif di Wilayah Pantai Timur dan kejayaan pelaburan itu membuktikan ECER kekal sebagai koridor berpotensi tinggi di Malaysia.

 

"Usaha ini selaras dengan komitmen negara dalam memastikan pembangunan wilayah yang seimbang agar rakyat mendapat manfaat daripada kemajuan ekonomi," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECER yang pertama bagi tahun 2025 di Putrajaya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, projek itu menjadi asas penting kepada pertumbuhan ekonomi mampan di ECER.

 

"Usaha memperkukuh ekosistem industri utama, meningkatkan keterhubungan serta melaksanakan inisiatif berteraskan komuniti bukan sahaja berjaya menarik minat pelabur, malah memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat setempat," katanya.

 

ECERDC
(Kiri ke Kanan): Datuk Nor Azmie, Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi, Tan Sri Datuk Sri Shamsul Azri, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, Datuk Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, Datuk Mohd Nassuruddin, Menteri Besar Kelantan, Datuk Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC dan Datuk Ragu Sampasivam, Ketua Pegawai Operasi ECERDC.

 

ECERDC kini melaksanakan lapan projek strategik dan berimpak tinggi iaitu penyiapan Pusat Pengumpulan Susu Kambing di Ketereh dan Pasir Puteh, Kelantan pada April 2025 dan pembangunan Lembah Tenusu Jemaluang di Johor bagi memperkukuh rantaian nilai agromakanan. 

 

Bagi menyokong sektor pembuatan bernilai tinggi dan industri hard-to-abate, ECERDC memacu pembangunan Taman BioPolimer Kerteh di Terengganu dengan Fasa 4A Pakej 1 disiapkan pada 2024, Kompleks PKS Fasa 1B dijangka siap pertengahan 2025, dan Pakej 2 Fasa 4A sedang dibangunkan.- DagangNews.com