KUALA LUMPUR 27 Nov – Eastern & Oriental Berhad (E&O), pemaju hartanah premium melakar peristiwa penting di Lembah Klang dengan melancarkan rumah kelab dan presint komersial pertamanya di Bandar Elmina, Sungai Buloh.
E&O dalam kenyataan hari ini berkata, pelancaran dwi-komponen itu menandakan satu pencapaian strategik penting dalam peluasan jejak kumpulan di Lembah Klang, khususnya di kawasan Elmina yang mencatat pertumbuhan nilai stabil sepanjang lima tahun lalu.
Menurut E&O, terletak di Seri Embun, perbandaran perintis E&O di Elmina, pembangunan ini mencerminkan hala tuju kumpulan dalam membangunkan persekitaran berteraskan reka bentuk, kesejahteraan dan alam semula jadi yang menyokong pembentukan komuniti mampan serta berdaya huni tinggi.
Pengarah Urusan Eastern & Oriental Berhad, Kok Tuck Cheong berkata, pemilik rumah hari ini bukan sekadar membeli aset fizikal, sebaliknya melabur dalam gaya hidup dan persekitaran yang menyokong kesejahteraan jangka panjang.
“Pemilik rumah hari ini bukan sekadar membeli hartanah; malah mereka juga melabur dalam gaya hidup yang mencerminkan aspirasi mereka terhadap kesihatan, reka bentuk dan komuniti. Visi kami untuk Seri Embun, yang diperkukuh oleh rumah kelab ini, adalah untuk membina persekitaran kehidupan yang meraikan nilai-nilai tersebut, sekali gus menawarkan keseimbangan yang unik antara kecanggihan, kelestarian dan ketenangan,” katanya.
Rumah Kelab E&O Elmina yang direka berasaskan prinsip kesejahteraan holistik dan kehidupan keluarga moden, berfungsi sebagai nadi kepada Seri Embun dalam sebuah presint berpagar serta berpengawal dengan akses terkawal.
Ia menawarkan pengalaman gaya hidup bertaraf resort dengan kemudahan lengkap termasuk gimnasium, kolam renang, kolam kanak-kanak, dewan serba guna, taman permainan kanak-kanak, taman landskap, taman herba, teres taman, laman acara, laman yoga, wakaf, surau dan jakuzi.
Melengkapkan pembangunan ini, E&O turut melancarkan Laman Embun, presint komersial pertama Kumpulan di Elmina yang dibangunkan di atas 15.1 ekar tanah pegangan bebas dan menampilkan 110 unit pejabat kedai dua dan tiga tingkat dengan keluasan antara 3,256 hingga 10,883 kaki persegi.
Dengan saiz lot bermula daripada 22’ x 75’, presint ini menawarkan fleksibiliti untuk pelbagai konsep perniagaan termasuk runcit, makanan dan minuman serta perniagaan berteraskan gaya hidup.
Presint ini turut disasarkan untuk mencapai Pensijilan GreenRE Tahap Perak, selari dengan komitmen kelestarian E&O.
Dari sudut lokasi strategik, Laman Embun terletak kurang daripada 500 meter dari perbandaran baharu Seri Embun, hanya 600 meter dari Elmina Lakeside Mall dan dalam lingkungan 1 kilometer dari SJK (C) Regent Elmina serta Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa.
Dengan lebih 1,000 petak parkir, presint ini dijangka menjadi tarikan utama kepada peruncit, usahawan dan pengendali gaya hidup.
Menurut E&O, pembangunan ini disasarkan sebagai nadi komersial dan sosial Elmina, dengan keterlihatan tinggi di sepanjang Lebuhraya Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), sekali gus meningkatkan potensi trafik pelanggan dan pulangan pelaburan jangka panjang.
Dalam aspek pasaran lebih luas, E&O berkata pasaran hartanah berteraskan kesejahteraan di Malaysia dijangka mencecah nilai RM35 bilion dalam tempoh sedekad akan datang, dengan Lembah Klang dijangka memacu sebahagian besar pertumbuhan tersebut.
“Kehadiran E&O di Elmina melalui Rumah Kelab E&O dan presint komersial Laman Embun mencerminkan penyatuan kediaman, rekreasi dan keusahawanan dalam satu ekosistem bersepadu yang menyokong pembangunan komuniti dinamik dan lestari,” menurut kenyataan itu.
Pelancaran ini mengukuhkan lagi strategi E&O untuk memanfaatkan segmen pembangunan berteraskan kesejahteraan, yang kian menjadi tumpuan pembeli dan pelabur yang melihat hartanah bukan sekadar aset, tetapi sebagai asas kepada kehidupan holistik jangka panjang.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari https://lamanembun.com/. - DagangNews.com








