KUALA LUMPUR 19 Sept - Pengeluar produk nutraseutikal, DXN Holdings Berhad berjaya menyempurnakan Fasa 1 Inisiatif MillionMakers Direct Worker Voice (DWV) dengan mengintegrasikan Usaha Wajar Hak Asasi Manusia (HRDD) ke dalam kilangnya di Malaysia, India dan China, melibatkan lebih 1,700 pekerja.
Kumpulan itu berkata, pencapaian itu menjadikan mereka sebagai syarikat pertama di dunia melaksanakan platform HRDD rentas sempadan yang membenarkan dan mengesahkan input pekerja pada skala besar di seluruh operasi pengeluarannya sendiri.
Ia sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pengeluar dengan penglibatan langsung pekerja.
Inisiatif itu menetapkan penanda aras baharu global dalam pembuatan bertanggungjawab, selain memastikan pematuhan kepada peraturan antarabangsa yang semakin ketat seperti Usaha Wajar Kelestarian Korporat Kesatuan Eropah (EU), Akta Pencegahan Buruh Paksa Amerika Syarikat (AS), Akta Perhambaan Moden United Kingdom (UK) serta rangka kerja Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD).
Dengan mengintegrasikan HRDD pada skala besar, DXN dapat menyediakan data ESG yang disahkan secara bebas, melindungi akses pasaran global, serta mengukuhkan kredibiliti jenama—sekali gus menyokong pendapatan mampan dan akses modal yang berdaya tahan.

Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan yang mampan dan beretika.
“Dengan menjadi yang pertama di dunia mengintegrasikan Direct Worker Voice ke dalam Human Rights Due Diligence, kami menghantar isyarat jelas kepada pelabur dan pihak berkepentingan, pertumbuhan kami adalah mampan, beretika dan bertanggungjawab di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu berkata, pendekatan berfasa itu menekankan keupayaan DXN untuk menukar pematuhan kepada kelebihan daya saing — sekali gus melindungi perniagaan daripada risiko peraturan masa hadapan, sambil meningkatkan nilai kepada pemegang saham.
Katanya, Fasa 2 melibatkan Amerika Latin, dengan memanfaatkan jejak pasaran DXN bagi menunjukkan impak besar merentas benua.
Ketua Pegawai Eksekutif Bluenumber, rakan teknologi DWV, Dr. Puvan J Selvanathan, berkata, DXN telah menetapkan penanda aras global baharu dengan mengintegrasikan Direct Worker Voice ke dalam HRDD di pelbagai negara.
"Dengan lebih 80% penyertaan tenaga kerja, DXN menunjukkan pemetaan risiko dan jaminan berasaskan bukti pada skala besar. Ini adalah piawaian global baharu untuk pembuatan bertanggungjawab, dan ia menyerlahkan kepimpinan syarikat multinasional Malaysia di bawah Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGPs)," katanya. - DagangNews.com








