DXN mulakan pembinaan kilang baharu di Brazil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DXN mulakan pembinaan kilang baharu di Brazil

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 Sept - DXN Holdings Bhd memperluaskan jejak pembuatan di Amerika Latin menerusi pembinaan kilang pembuatan baharu di Ibiá, Brazil, dengan projek berkenaan dijangka siap pada September 2029 dan memulakan pengeluaran menjelang akhir tahun sama.

 

Majlis pecah tanah kemudahan itu menandakan satu lagi langkah penting dalam pelaksanaan program perbelanjaan modal (capex) DXN bernilai RM500 juta, yang bertujuan meningkatkan kapasiti pembuatan kumpulan di beberapa rantau bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

 

Dalam kenyataan, DXN berkata kemudahan Brazil akan mendapatkan bahan mentah daripada operasi pertanian milik kumpulan serta pembekal tempatan, termasuk biji kopi Arabica daripada ladang DXN seluas 385 ekar di Ibiá.

 

Kilang tersebut akan dibangunkan di atas tapak seluas 100,745 meter persegi yang disediakan oleh Perbandaran Ibiá menerusi pengaturan sumbangan tanah bersyarat.

 

Di bawah Perjanjian Komitmen Timbal Balik antara DXN Brasil dan Perbandaran Ibiá, DXN komited melabur sekurang-kurangnya BRL100 juta dalam tempoh lima tahun bagi menubuhkan dan membangunkan operasi pembuatan di Ibiá.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DXN, Prajith Pavithran berkata, Amerika Latin kini menjadi pasaran teras kumpulan dan kekal penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjangnya.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026, rantau itu menyumbang 61.2% kepada hasil DXN, bersamaan kira-kira RM1.2 bilion, disokong asas kira-kira 4.8 juta pengguna tawanan setakat 31 Julai 2026.

 

“Apabila beroperasi kelak, Kemudahan Brazil akan memberikan fleksibiliti lebih besar untuk membangunkan dan memperkenalkan produk yang disesuaikan dengan keutamaan pengguna Brazil dan rantau ini,” katanya.

 

Perkukuh kapasiti pembuatan serantau

DXN berkata pelaburan di Brazil itu akan melengkapkan jejak pembuatan sedia ada kumpulan di Amerika Latin.

 

Ketika ini, DXN mengendalikan dua kemudahan pembuatan di Mexico, selain sedang membangunkan kemudahan pembuatan di Peru dan Bolivia.

 

Majlis pecah tanah bagi Kemudahan Peru diadakan pada 15 September 2025, manakala majlis pecah tanah bagi Kemudahan Bolivia berlangsung pada 16 April 2026. - DagangNews.com