KUALA LUMPUR 14 Mei – Duopharma Biotech Berhad mencatatkan penurunan 5.7% hasil kepada RM247.88 juta bagi tempoh selama tiga bulan yang pertama berakhir pada 31 Mac 2026 (1QFY26).
Pendapatan tersebut merosot berbanding sebanyak RM262.74 juta dicatatkan bagi tempoh sama 2025 disebabkan oleh permintaan sektor awam bagi produk insulin yang kembali kepada tahap normal.
Bagaimanapun, kumpulan farmaseutikal itu masih mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 19.8% didorong faktor peningkatan tahap kecekapan operasi, dan campuran produk baharu syarikat.
"Selain itu, pengukuhan nilai ringgit membantu kumpulan dalam mengurangkan tekanan kos input bagi bahan farmaseutikal aktif (API) dan turut menyokong usaha penambahbaikan margin," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata, komitmen strategik kerajaan terhadap penjagaan kesihatan dan keselamatan bekalan ubat memberikan isyarat baik
"Kami menjangka persekitaran operasi positif kerana penekanan khusus perluasan keupayaan pembuatan farmaseutikal tempatan, seperti dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13)," katanya.
Beliau menambah, sebagai pengeluar, Duopharma memanfaatkan peluang tersebut, serta memperkukuh rantaian bekalan melalui pengurusan inventori strategik dan kepelbagaian sumber API.
Jelas Wan Amir-Jeffrey, syarikat baru-baru ini meraih dua kontrak melalui anak syarikatnya untuk membekalkan suntikan insulin kepada fasiliti kerajaan bagi tempoh dua tahun sehingga 2028.
Bagi suku pertama 2026 juga, dividen interim kedua dibayar sebanyak 3.05 sen sesaham berbanding 2.0 sen pada 1QFY25, berjumlah RM29.33 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
"Walaupun optimis dengan perolehan kontrak baharu, Duopharma tetap berwaspada terhadap ketegangan di Timur Tengah yang boleh mempengaruhi harga tenaga global dan kos API," kata beliau.
Syarikat berkenaan akan terus fokus kepada kecekapan operasi dan pengoptimuman kos untuk memastikan prestasi yang memuaskan bagi baki tahun kewangan 2026. - DagangNews.com








