DNeX, Sinohydro jalin kerjasama strategik majukan sektor RE di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX, Sinohydro jalin kerjasama strategik majukan sektor RE di Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor (kiri) bertukar dokumen dengan Pengarah Urusan, Sinohydro Corporation, Zhou Jiayi pada 30 Jun 2025.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sinohydro Corporation (M) Sdn Bhd (Sinohydro Malaysia) bagi meneroka dan membangunkan inisiatif utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) yang sedang berkembang di Malaysia.

 

Perkongsian strategik itu menekankan komitmen kedua-dua pihak untuk memacu inovasi, menggalakkan kemajuan teknologi, serta menyumbang kepada peralihan tenaga bersih dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, selain meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan melalui pemindahan teknologi dan amalan terbaik bertaraf global.

 

MoU tersebut menggariskan beberapa bidang kerjasama utama yang dirangka bagi menyokong visi kerajaan dalam mempercepat agenda tenaga bersih Malaysia selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara:

  • Pembangunan Projek Tenaga Boleh Baharu: Kedua-dua pihak akan bekerjasama mengenal pasti, menilai dan membangunkan projek RE yang berdaya maju di seluruh Malaysia. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada inisiatif dalam tenaga solar, geoterma, hidroelektrik dan teknologi tenaga bersih lain dengan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran unik kedua-dua syarikat untuk menjana tenaga bersih daripada sumber semula jadi Malaysia.

 

  • Pemindahan Teknologi dan Amalan Terbaik: Antara objektif utama kerjasama ini adalah untuk memudahkan pemindahan teknologi canggih dan amalan terbaik. Ini akan merangkumi bidang kritikal seperti rumusan solar termaju, tenaga geoterma, sistem hidrokuasa dan teknologi reaktor modular kecil sekali gus mempercepatkan penerapan rumusan tenaga bersih berteknologi tinggi di Malaysia.

 

  • Penerokaan Unsur Nadir Bumi Secara Lestari: MoU ini juga membuka ruang untuk meneroka peluang dalam projek perlombongan unsur nadir bumi secara lestari, khususnya yang berkaitan dengan penggunaan dalam sektor RE. 

 

  • Inovasi dan Penambahbaikan: Kedua-dua pihak komited membangunkan penambahbaikan dan inovasi hasil daripada pemindahan teknologi dalam RE, menyokong komitmen DNeX terhadap sasaran pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050, serta aspirasinya untuk merebut peluang dalam Peralihan Tenaga global.

 

  • Pembangunan Bakat Tempatan: Mengiktiraf kepentingan utama tenaga kerja berkemahiran untuk pertumbuhan mampan, MoU ini turut merangkumi peruntukan bagi meningkatkan kemahiran dan membangunkan bakat tempatan dalam sektor RE serta industri perlombongan, pengekstrakan dan pengeluaran unsur nadir bumi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor berkata, kerjasama dengan Sinohydro bukan sahaja akan membuka potensi RE di seluruh negara tetapi juga membolehkan pihaknya menerima pakai teknologi canggih seperti Reaktor Modular Kecil (SMR).

 

Beliau berkata, peluang itu akan sangat melengkapi pelan kemampanan yang sedang berjalan dalam sektor tenaga, di mana pihaknya berhasrat untuk mengalihkan portfolio minyak dan gas lebih dekat kepada bahan api peralihan seperti gas asli sebagai ganti minyak, dan juga dalam sektor IT yang semakin memfokuskan kepada penyediaan perkhidmatan awan berdaulat dan kecerdasan buatan (AI).

 

"Ia memerlukan penggunaan tenaga yang besar, dan kerjasama dengan Sinohydro membolehkan kami melonjak ke hadapan dalam bidang SMR dan memastikan produk serta perkhidmatan kami bukan sahaja boleh dipercayai, tetapi juga berpunca daripada sumber tenaga bebas karbon.

 

"Selain itu, komitmen bersama kami terhadap pengasingan unsur nadir bumi secara bersih sejajar sepenuhnya dengan visi kami dalam pengurusan sumber yang bertanggungjawab dan pertumbuhan industri. 

 

"Kami amat teruja dengan prospek untuk membangunkan kepakaran tempatan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor-sektor kritikal ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Antara projek penting yang pernah Sinohydro termasuk Loji Janakuasa Hidroelektrik (HEP) Bakun di Sarawak, dengan kapasiti terpasang sebanyak 2,400MW, yang merupakan loji janakuasa hidroelektrik terbesar di Malaysia dan di Asia Tenggara.

 

Sinohydro juga terlibat dalam pembinaan beberapa loji janakuasa utama di Malaysia, termasuk Stesen Janakuasa Jambatan Connaught, Loji Janakuasa Turbin Gas Kitar Gabungan Tanjung Kidurong, Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu, Loji Hidroelektrik Murum, Projek Tenaga Solar Skala Besar 3 (LSS3) Coara Marang dan Loji Janakuasa Hidro Kecil Telekosang.

 

Sinohydro Malaysia kini sedang melaksanakan pembinaan Projek Hidroelektrik Baleh, iaitu projek loji janakuasa hidroelektrik terbesar yang sedang berjalan di Malaysia, serta Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan Miri di Sarawak. - DagangNews.com