DNeX peroleh kontrak RM103.76 juta bagi penyediaan sistem iGFMAS kepada MOF  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX peroleh kontrak RM103.76 juta bagi penyediaan sistem iGFMAS kepada MOF 

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 19 Jun - Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memperoleh kontrak bernilai RM103.76 juta daripada kerajaan bagi meneruskan penyediaan sokongan kepada Sistem Kewangan dan Pengurusan Kerajaan Bersepadu (iGFMAS) bagi tempoh 60 bulan.

 

Kontrak tersebut dianugerahkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) kepada anak syarikat DNeX, Innovation Associates Consulting Sdn Bhd (IAC), yang merangkumi penyelenggaraan, perkhidmatan sokongan, dan penambahbaikan aplikasi bagi sistem iGFMAS.

 

IAC merupakan pakar dalam integrasi sistem perusahaan, yang menyediakan rumusan transformasi digital menyeluruh kepada agensi sektor awam dan organisasi berskala besar.

 

 

 

Manakala, iGFMAS merupakan sistem perakaunan moden yang dibangunkan dan dilaksanakan oleh DNeX bagi menyokong pengurusan kewangan kerajaan secara menyeluruh.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor berkata, syarikat amat berbesar hati untuk terus menyumbang kepada iGFMAS, sebuah sistem yang penting kepada negara. 

 

dnex
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor

 

"Kontrak ini membolehkan kami membina daripada asas sedia ada dan mempertingkatkan lagi platform ini bagi memenuhi keperluan tadbir urus kewangan negara yang semakin berkembang.

 

"Kami selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih tangkas dalam menyesuaikan diri dengan teknologi serta kaedah digital demi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Malaysia. 

 

"Kepercayaan berterusan ini merupakan bukti kukuh terhadap komitmen dan keupayaan kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Segmen IT DNeX merangkumi Dagang Net Technologies Sdn Bhd, IAC, DNeX Solutions Sdn Bhd dan usaha sama Gamuda DNeX Cloud Sdn Bhd dalam menawarkan rumusan digital bersepadu kepada sektor awam dan swasta.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), segmen IT menyumbang 19.2% kepada jumlah hasil kumpulan. 

 

Segmen teknologi, yang dipacu oleh cabang semikonduktor SilTerra Malaysia Sdn Bhd, menyumbang 53.6%, manakala segmen tenaga menyumbang 27.2%.

 

DNeX IT memiliki 400 tenaga kerja teknikal dan disokong 16 pakar dalam teknologi baharu termasuk Analitik Data Raya dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus berada pada kedudukan strategik untuk berkembang ke peringkat global.- DagangNews.com