DKSH, Novaphene jalin kerjasama edar bahan kosmetik di Malaysia, Singapura dan Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DKSH, Novaphene jalin kerjasama edar bahan kosmetik di Malaysia, Singapura dan Thailand

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei – DKSH memeterai perjanjian pengedaran dengan Novaphene bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Thailand, sekali gus memperkukuh rangkaian pengedaran bahan penjagaan diri di rantau Asia Tenggara.

 

Melalui kerjasama ini, DKSH Business Unit Performance Materials akan bertindak sebagai rakan pasaran bagi Novaphene merangkumi perkhidmatan pembangunan perniagaan, pemasaran, jualan, logistik serta pengedaran.

 

Peranan ini membolehkan DKSH memperluas akses pasaran kepada keseluruhan portfolio bahan penjagaan diri Novaphene kepada penggubal formulasi dan pengeluar kosmetik di rantau berkenaan.

 

DKSH berkata perjanjian pengedaran itu melibatkan rangkaian penuh produk Novaphene termasuk Novaguard, Novapreserv, Novakare dan Novasolve yang merupakan jenama berdaftar bagi bahan penjagaan diri dan kosmetik.

 

“Produk-produk ini direka sebagai rumusan formulasi berprestasi tinggi yang menumpukan kepada peningkatan keselamatan, keberkesanan serta prestasi produk akhir kosmetik.

 

“Ia turut merangkumi bahan pengawet serta bahan antimikrobial pelbagai fungsi yang digunakan secara meluas dalam industri penjagaan diri dan kosmetik global,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pasaran Malaysia, Singapura dan Thailand dilihat antara pasaran penjagaan diri paling dinamik di rantau Asia Pasifik, didorong oleh perubahan cita rasa pengguna serta peningkatan permintaan terhadap produk kosmetik berinovasi tinggi.

 

Novaphene merupakan syarikat kimia khusus milik persendirian dengan lebih 70 tahun pengalaman dalam industri kimia global.

 

Syarikat itu beroperasi melalui dua entiti utama iaitu Novaphene Specialities Pvt. Ltd. dan Novaphene Ingredients Pvt. Ltd., dengan fokus kepada bahan penjagaan diri serta perantara farmaseutikal.

 

Novaphene turut dikenali dengan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menumpukan kepada teknologi tersuai bagi menghasilkan proses pembuatan yang efisien, berskala besar dan kos efektif.

 

Menurut Pengarah Novaphene Specialities Pvt Ltd, Saral Shah, kerjasama ini merupakan lanjutan kepada komitmen syarikat untuk menyediakan rumusan penjagaan diri bertaraf dunia kepada pelanggan global.

 

Beliau berkata Asia Tenggara merupakan pasaran strategik penting bagi Novaphene dan pihaknya yakin kepakaran pasaran DKSH akan membantu mempercepat pertumbuhan syarikat di rantau ini.

 

Sementara itu, Naib Presiden, Industri Penjagaan Diri Global, Unit Bahan Prestasi DKSH, Michelle Delac berkata Novaphene menawarkan rumusan inovatif yang selari dengan keperluan semasa industri penjagaan diri.

 

“DKSH komited untuk memperkukuh portfolio bahan penjagaan diri di Malaysia, Singapura dan Thailand melalui kerjasama strategik tersebut,” katanya.

 

DKSH merupakan penyedia perkhidmatan pengembangan pasaran terkemuka yang telah beroperasi lebih 160 tahun, dengan kehadiran di 35 pasaran global termasuk Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara.

 

Kumpulan itu menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi sumber bekalan, pemasaran, jualan, perdagangan elektronik, pengedaran, logistik serta perkhidmatan selepas jualan.

 

Bagi tahun kewangan 2025, DKSH mencatatkan jualan bersih sebanyak CHF 11.1 bilion dengan 26,840 tenaga kerja profesional di seluruh dunia. - DagangNews.com