KUALA LUMPUR 29 Okt - Kerajaan mengunjurkan dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi tahun 2026 menurun kepada RM20 bilion berbanding anggaran RM32 bilion pada 2025.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, hasil berkaitan petroleum bagi tahun 2026 pula diunjurkan sebanyak RM43 bilion, iaitu penurunan sebanyak 24 peratus berbanding anggaran RM56.6 bilion pada 2025.
“Kerajaan kekal komited mengurangkan kebergantungan terhadap hasil berkaitan petroleum berikutan faktor pendedahan risiko terhadap ketidaktentuan harga minyak mentah global.

“Dari sudut pengurusan fiskal, kerajaan Persekutuan akan terus memberi tumpuan kepada langkah pengoptimuman perbelanjaan, memastikan kelestarian hasil negara serta memperkukuh pelaksanaan pelan ekonomi komprehensif bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
MOF berkata demikian sebagai menjawab secara bertulis pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH–Pasir Gudang) mengenai pendekatan realistik kerajaan untuk Belanjawan 2026 tanpa bergantung kepada dividen Petronas yang berdepan cabaran penurunan harga minyak mentah dunia. - DagangNews.com








