KUALA LUMPUR 2 Sept — Dialog Group Berhad berdepan cabaran mengekalkan margin projek kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) susulan peningkatan kos bahan mentah dan buruh, kata MBSB Research.
Firma itu berkata margin kasar kelazimannya berada sekitar 8% hingga 12%, lebih rendah berbanding operasi penyimpanan tangki berikutan kerja kejuruteraan yang amat terdedah kepada isu bahan dan buruh.
Bagaimanapun, kumpulan terus memperoleh peluang baharu apabila subsidiarinya, Overseas Technical Engineering and Construction Pte Ltd (OTEC), menerima kontrak baharu di Pulau Bukom, Singapura.
"Tender diterima anak syarikat Dialog itu melibatkan projek perluasan tangki penyimpanan minyak mentah yang akan meningkatkan kapasiti sebanyak lebih 1.3 juta tong," jelas nota MBSB Research.
Menurutnya, pemerolehan kontrak itu mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai antara kontraktor utama EPC dalam sektor hiliran minyak dan gas (O&G), selain menyediakan pengisian semula buku tempahan.
Kemudahan di pulau itu merangkumi 13 jeti marin, kapasiti tangki sehingga 4.3 juta meter padu serta Single Buoy Mooring (SBM) yang mampu menerima kapal pengangkut minyak mentah sangat besar (VLCC).
MBSB Research berkata, infrastruktur itu membolehkan Dialog melaksanakan kerja pemunggahan beberapa kapal secara serentak, serta mengurangkan kesesakan trafik, serta kos pengendalian dan penyimpanan.

"Dari sudut keuntungan, nilai kontrak masih belum didedahkan lagi dan sumbangan sebenar kepada margin adalah bergantung kepada struktur serta nilai tender," tambah firma penyelidikan itu.
Namun ujarnya, jika projek berkembang kepada kontrak jangka panjang yang merangkumi perkhidmatan penyelenggaraan loji, margin kasar berpotensi untuk meningkat kepada sebanyak 15% hingga 20%.
Pada masa sama, MBSB Research mengingatkan Dialog berdepan beberapa risiko yang boleh menjejaskan pelaksanaan dan keuntungan projek, termasuk turun naik bekalan global, lonjakan harga bahan mentah.
Ini khususnya melibatkan keluli, di samping kelewatan perolehan peralatan, kelemahan permintaan penyimpanan minyak mentah komersial serta masalah tekanan daripada sasaran penyahkarbonan global.
"Perubahan margin penapisan serantau dan risiko pelaksanaan usaha sama (JV) turut menjadi perkara perlu dipantau, tetapi kontrak baharu itu dilihat memberikan sokongan kepada prospek," katanya.
Justeru jelas MBSB Research, Dialog masih stabil dalam tempoh sederhana hingga panjang, selaras dengan keupayaan kumpulan menawarkan perkhidmatan teknikal yang bersepadu dalam sektor tenaga.
Ia turut tidak mengubah unjuran pendapatan kumpulan tersebut pada ketika ini kerana nilai kontrak belum didedahkan, namun mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM2.57 sesaham.
Secara keseluruhan, firma penyelidikan berkenaan melihat kontrak baharu di Singapura sebagai pengukuhan terhadap aliran pendapatan masa depan kumpulan itu. - DagangNews.com








