KUALA LUMPUR 20 Feb - Peneraju global dalam logistik kontrak, DHL Supply Chain, membuka Penang Logistics Hub 5 yang terletak di dalam Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, sebuah kemudahan moden seluas 22,000 meter persegi yang dibina khusus untuk menyokong sebuah syarikat teknologi multinasional terkemuka.
DHL Supply Chain melabur sebanyak RM139 juta untuk membina gudang itu, dengan tambahan RM55.43 juta diperuntukkan untuk melaksanakan sistem automasi robotik canggih.
Kemudahan tersebut dilengkapi dengan sistem automatik terkini yang disepadukan secara lancar dalam operasi gudang.
Ini termasuk penggunaan pertama secara global Automated Case-handling Mobile Robot (ACR) dan Goods-to-Person Robotics (GTPR) di DHL Supply Chain, bersama dengan Automated Storage and Retrieval System (ASRS).
Pengarah Urusan, Mario Lorenz berkata, pihaknya bangga menjadi yang pertama di DHL Supply Chain secara global untuk menggunakan automasi canggih seperti ACR bagi pengambilan kotak menggunakan teknologi robotik bergerak.
Sistem GTPR melibatkan robot bergerak yang menyimpan dan mengambil kotak ke dalam sistem rak penyimpanan.
"Kami juga memperkenalkan Automated Guided Vehicles (AGVs) untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, menetapkan penanda aras baharu bagi operasi logistik.
"Dengan menggabungkan kepakaran kami dengan inovasi-inovasi ini, kami dapat menyediakan rumusan logistik yang disesuaikan dan lancar kepada pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Penang Logistics Hub 5 direka mengikut sistem penarafan hijau yang diiktiraf di Malaysia, Green Building Index, yang menggabungkan rumusan mampan seperti panel solar di atas bumbung untuk memenuhi keperluan tenaga boleh diperbaharui bagi gudang dan ruang pejabat.
Selain itu, kemudahan tersebut dilengkapi dengan sistem pengumpulan air hujan dan pencahayaan LED yang cekap tenaga dengan pengesan gerakan.
Penggunaan lantai rata memastikan fleksibiliti jangka panjang untuk operasi gudang sambil mengoptimumkan kecekapan ruang udara.
Pelancaran Penang Logistics Hub 5 mencerminkan komitmen DHL terhadap pertumbuhan, yang disokong oleh pelaburan RM605.11 juta di Malaysia yang bertujuan meningkatkan kapasiti dan mengembangkan bakat terbaik.
Ini memastikan syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk menyokong keperluan dan matlamat pertumbuhan pelanggan yang sentiasa berubah.
DHL Supply Chain Malaysia, yang mengkhususkan diri dalam logistik semikonduktor, menawarkan rumusan pakar merentasi pelbagai sektor termasuk automotif, barang pengguna, kimia, tenaga, kejuruteraan dan pembuatan, sains hayat dan penjagaan kesihatan, runcit dan teknologi. - DagangNews.com








