KUALA LUMPUR 7 Jan – Destini Bhd melantik Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar sebagai Pengarah Urusan Kumpulan baharu, hanya sebulan selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp itu menyertai lembaga pengarah kumpulan kejuruteraan berkenaan sebagai pengarah eksekutif.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Destini berkata pelantikan semula jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.
Shahril, 54, sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Eksekutif pada 4 Disember 2025.
Sebelum menyertai Destini, Shahril pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, selain memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di MRT Corp.
Beliau juga pernah memegang pelbagai peranan eksekutif dan pengarah dalam beberapa syarikat termasuk syarikat tersenarai seperti CSH Alliance Bhd, yang kini dikenali sebagai Velocity Capital Partner Bhd, Green Packet Bhd dan Taghill Holdings Bhd.
Pada masa ini, Shahril turut menganggotai lembaga pengarah West River Bhd dan EVD Bhd. - DagangNews.com








