Deleum perluas operasi luar pesisir menerusi pengambilalihan aset serantau RM60 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Deleum perluas operasi luar pesisir menerusi pengambilalihan aset serantau RM60 juta

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 18 Jun - Deleum Berhad dijangka menambah nilai serta memperluas pilihan dalam operasinya bagi rumusan perkhidmatan luar pesisir menerusi cadangan pengambilalihan aset serantau.

 

Deleum sebelum ini menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Deleum Oilfield Solutions (Thailand) Co Ltd (DOST), mengambil MPC Future Co Ltd (MPC) dengan jumlah nilai pertimbangan RM60 juta.

 

Ia merangkumi perkhidmatan peralatan penyelenggaraan telaga, kerja selenggara hidraulik dan penyelenggaraan kepala telaga.

 

MIDF Research bagaimanapun tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran keuntungan syarikat ketika ini memandangkan perjanjian jual beli (SPA) masih di peringkat awal.

 

SPA itu dijangka dimuktamadkan pada separuh kedua 2025 dan akan dibayar melalui gabungan pembayaran tunai serta penerbitan saham baharu dalam DOST, sekali gus menyaksikan pegangan saham Deleum dalam syarikat tersebut berkurang kepada 49.93%, manakala MPC memegang 48.34% selepas urus niaga selesai.

 

MIDF Research berkata, perjanjian itu selaras dengan unjuran pertumbuhan kumpulan memandangkan Deleum sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengambil alih perniagaan seumpamanya dalam jangka panjang bagi memperluaskan jejak antarabangsa, khususnya di rantau ASEAN.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran RM1.92.- DagangNews.com