KUALA LUMPUR 4 Feb – Kerajaan berjaya menurunkan defisit fiskal secara berperingkat daripada 6.4% pada 2021 kepada 4.1% pada 2024 dan dijangka mencapai sasaran 3.8% pada tahun 2025, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, kerajaan menyasarkan jumlah itu akan terus berkurangan kepada 3.5% pada tahun ini berdasarkan Belanjawan 2026 yang telah dirangka.
“Kejayaan ini dicapai melalui penyasaran subsidi, penambahbaikan SST, serta pengurusan fiskal berhemat yang diiktiraf badan antarabangsa seperti IMF.
“Pendekatan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan merangkumi dimensi ekonomi, sosial dan tadbir urus, memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemah terus kepada manfaat rakyat,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia juga terus kukuh dengan pelaburan diluluskan bagi sembilan bulan pertama 2025 meningkat 13.2% kepada RM285.2 bilion berbanding tempoh sama 2024.
“Indeks Bursa Malaysia mencecah 1,771 mata – paras tertinggi sejak lebih tujuh tahun – manakala ringgit kukuh pada RM3.92 berbanding dolar AS, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap pengurusan ekonomi negara.
“Daripada segi impak kepada rakyat, kadar pengangguran November 2025 turun kepada 2.9%, gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700, manakala gaji wajar bagi kakitangan GLIC dan GLC ditetapkan RM3,100 melibatkan 169,000 pekerja.
“Pendapatan Negara Kasar per kapita turut meningkat kepada RM54,793, mewakili kenaikan lebih 18% sejak 2021. Kadar inflasi kekal rendah sekitar 1.4%, walaupun penyasaran subsidi dan penambahbaikan cukai dilaksanakan,” katanya. - DagangNews.com








