Dayang sasarkan tender peleraian pelantar luar pesisir bernilai RM3 bilion, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dayang sasarkan tender peleraian pelantar luar pesisir bernilai RM3 bilion, kata Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 FebDayang Enterprise Holdings Berhad sedang membida pakej tender peleraian aset dan fasiliti banyak pelantar luar pesisir yang mencecah nilai RM3 bilion, menurut Phillip Capital.


Di samping itu, firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan berkenaan berpeluang cerah untuk menambah lagi sejumlah 24 kontrak lain yang masing-masing dianggarkan kira-kira RM200 juta. 


Justeru jelasnya, sebarang kemenangan kontrak baharu berpotensi memberi lonjakan kepada unjuran pendapatan pada 2026, sekali gus meningkatkan keterlihatan hasil kumpulan dalam tempoh sederhana.


"Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Dayang dan harga sasaran (TP) 12 bulan tidak berubah RM2.01, berdasarkan unjuran pendapatan sesaham 2026," kata Phillip Capital dalam notanya.


Menurut firma itu, prospek pemulihan kumpulan tersebut dijangka semakin jelas bermula suku kedua tahun ini (2Q26), didorong faktor peningkatan penggunaan kapal selepas musim monsun berakhir.


Tambahnya, kadar penggunaan kapal kumpulan itu diunjur susut daripada 52% pada 4Q25 kepada 35% pada 1Q26 akibat isu bermusim, sebelum pulih kepada 75% pada 2Q26 dengan anggaran 55% pada 6M26.


Anak syarikat yang dimiliki 64% oleh Dayang, Perdana Petroleum Berhad pula menjangkakan penggunaan kapal adalah stabil pada 50% dalam tempoh 1Q26 sebelum meningkat kepada kira-kira 60% pada 2Q26.


"Kadar sewaan kapal dijangka kekal tidak berubah selepas susut sebanyak 5% pada tahun lepas, disokong kekangan bekalan kapal domestik dan ketiadaan pembinaan baharu," jelas Phillip Capital.


Firma penyelidikan tersebut mengunjurkan hasil Dayang mampu berkembang 11% tahun ke tahun (YoY) pada 2026, dipacu kadar penggunaan kapal lebih tinggi iaitu 62% berbanding 56% pada tahun lepas.


Kesemua lapan unit kapal jenis AHTS milik Perdana dijangka beroperasi sepenuhnya, manakala enam kapal penginapan di bawah kontrak selama tiga tahun akan menambah keterlihatan pendapatannya.


Aktiviti perkhidmatan pula kata Phillip Capital diunjur berkembang 5%, disokong kontrak jangka panjang di Sarawak dan Sabah hingga 2029 bagi penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian.


"Bagaimanapun, tekanan kos operasi dan peningkatan perbelanjaan faedah susulan pembiayaan kapal baharu dijangka mengecilkan margin bersih Dayang sebanyak dua mata peratusan kepada 19%," katanya. 


Keadaan itu dikhuatiri menyebabkan keuntungan bersih kumpulan pada 2026 kekal stabil sekitar RM194 juta, namun pada harga semasa, sahamnya diniagakan dengan kedudukan tunai bersih kukuh RM365 juta.


Firma penyelidikan tersebut turut menyifatkan hasil dividen 7.8% sebagai menarik, namun turut mengingatkan risiko utama termasuk kelewatan arahan kerja, dan kejatuhan kadar sewaan kapal. - DagangNews.com