KUALA LUMPUR 19 Mei - Dayang Enterprise Holdings Berhad (Dayang) dilihat semakin memenuhi ciri-ciri tema pelaburan “Value Up” apabila berjaya meningkatkan pulangan kepada pemegang saham dan memiliki disiplin dalam peruntukan modal, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan itu berkata, Dayang menunjukkan peningkatan konsisten dalam pembayaran dividen apabila dividen sesaham (DPS) meningkat daripada 1.5 sen pada 2021 kepada 10 sen pada 2024, dan seterusnya 14 sen pada 2025 walaupun keuntungan merosot 36% tahun ke tahun.
"Perkembangan itu mencerminkan kesediaan kumpulan yang semakin tinggi untuk mengembalikan lebihan tunai kepada pemegang saham.
"Unjuran semasa mengandaikan nisbah pembayaran (payout ratio) sebanyak 85%, yang membawa kepada hasil dividen sekitar 7.3% bagi tahun kewangan 2026 (F2026)," katanya dalam nota kajian hari ini.
CGSI berkata, walaupun kumpulan mencatat kitaran pendapatan yang kukuh antara 2021 hingga 2024, pihak pengurusan kekal berdisiplin dalam perbelanjaan modal (capex) dan mengelakkan pengembangan armada secara agresif.
Keadaan itu telah meningkatkan kedudukan tunai bersih kumpulan kepada RM678 juta setakat suku keempat 2025 (4Q25).
"Dengan keperluan capex yang sederhana melibatkan penyelenggaraan serta penggantian aset terpilih, Dayang dijangka terus menjana aliran tunai bebas (FCF) yang kukuh, sekali gus menyokong pengagihan pulangan kepada pemegang saham," kata CGS lagi.
Firma itu turut menjangkakan masih terdapat ruang tambahan untuk pulangan kepada pemegang saham selepas mengambil kira penampan tunai bersih konservatif RM300 juta serta rancangan tiga kapal baharu yang dibiayai 50% hutang.
Berdasarkan pengiraan tersebut, Dayang dianggarkan mempunyai kapasiti untuk mengembalikan RM238 juta atau RM0.21 sesaham dalam bentuk lebihan tunai.
Operasi brownfield terus sokong ketahanan pendapatan
CGSI berkata, walaupun pendapatan Dayang telah kembali normal daripada paras puncak 2024, keuntungan selepas cukai (PAT) bagi 2025 masih disokong secara struktur oleh harga minyak yang lebih tinggi.
Keadaan itu terus memberi insentif kepada pengendali huluan untuk memaksimumkan operasi pengeluaran serta mengekalkan perbelanjaan penyelenggaraan brownfield.
Walaupun wujud ketidaktentuan berkaitan pertikaian Petros-Petronas, semakan saluran menunjukkan aktiviti penyelenggaraan 2026 secara umumnya sejajar dengan 2025, dengan pelaksanaan dijangka lebih stabil selepas tahun peralihan di bawah kontrak Pan Malaysia baharu.
Dalam masa sama, kadar sewaan kapal sokongan luar pesisir (OSV) telah stabil selepas susut kira-kira 10% daripada paras tertinggi 2024, sekali gus menyokong pendapatan armada dengan tahap ketersediaan kapal yang lebih baik pada 2026.
Penilaian menarik dengan hasil melebihi 7%
CGSI berkata, pPada tahap semasa, Dayang dilihat menawarkan nisbah risiko-pulangan yang menarik dengan penilaian berada pada hujung bawah julat sejarah.
Saham itu didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2026F tanpa tunai (ex-cash) sekitar 8 kali, di samping menawarkan hasil dividen 7.3% bagi 2026F.
Walaupun harga saham meningkat 14% sejak awal tahun (YTD), firma penyelidikan berpendapat pasaran masih belum sepenuhnya menilai ketahanan asas pendapatan, penambahbaikan pengurusan modal serta profil dividen kumpulan.
Sehubungan itu, saranan “Add” dikekalkan dengan harga sasaran RM2.10 berdasarkan model pertumbuhan GGM.
Antara pemangkin penarafan semula termasuk pengurusan modal yang berterusan, pengiktirafan buku tempahan yang lebih pantas serta kemenangan kontrak baharu.
Risiko penurunan pula termasuk kelewatan aliran kerja serta perkembangan tidak memihak dalam rundingan Petronas-Petros. - DagangNews.com








